ILUSTRASI: Lat.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

KETIKA ramai masih tidur diulit mimpi, dentuman meriam batang kelapa atau batang pinang serta letupan mercun memecah keheningan pada subuh sunyi. Itulah tanda pagi Syawal menjelma. Suasana kampung yang sepi riuh dan meriah dengan bunyi meriam dan mercun sahut bersahutan.

Dentuman kuat meriam batang kelapa boleh bergema sehingga ke kampung jiran. Dengan dentuman meriam dari kampung jiran turut membelah pagi, maka jadilah seperti medan perang pada pagi hari raya. Saling berbalas tembakan, saling berlawan bunyi meriam siapa lebih kuat.

Proses membuat meriam batang kelapa atau batang pinang agak rumit. Batang kelapa atau pinang perlu diukur daripada bahagian akar ke atas menurut panjang dikehendaki dan dibelah dua. Isi batang kemudian dikorek. Setelah itu batang dicantumkan semula dan diikat atau disimpai menggunakan rotan agar kuat. Selepas itu dibuat lubang di bahagian bawah batang berkenaan untuk mencucuh meriam.

Yang tidak membuat meriam batang kelapa atau batang pinang akan membuat meriam tanah. Ini lebih muda. Tanah dikorek menurut kedalaman tertentu dan papan diletak di atasnya, siap dengan lubang. Papan diperkuat dengan kayu yang dicengkam dengan kayu bercabang. Selepas itu dikambus dengan tanah kecuali bahagian yang berlubang, iaitu tempat mencucuh meriam.

Jika tiada meriam ini semua, paling kurang meriam buluh mesti ada. Inilah bentuk meriam paling mudah dibuat. Hanya perlu mencari buluh dan potong menurut ukuran dikehendaki.

Selepas itu buat lubang antara ruas supaya karbaid dan air boleh masuk dan bertakung di ruas paling bawah. Buat lubang dekat ruas bawah dan cucuh meriam di situ. Kesemua meriam, walau apa pun jenisnya, menggunakan karbaid sebagai bahan bakar.

Penulis dan abang hanya membuat meriam buluh. Bermain mercun pun hanya beberapa papan. Ayah tidak membelikan banyak mercun. Namun penulis tidak merungut kerana menyedari kedudukan kewangan ayah. Lagi pun banyak wang diperlukan untuk perbelanjaan lain sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Emak pun tidak membuat banyak kuih. Sekadar kuih tradisional biasa, seperti baulu, kuih bakar, dodol. Walau pun kami tinggal di kampung pedalaman, ramai juga yang datang berhari raya, kebanyakan saudara mara. Biasanya bila membuat kek di bulan puasa, penulis yang akan menjadi tukang rasa!

Pagi raya emak selalunya masak kicap atau masak lemak ayam kampung, dengan nasi putih. Juga ada sambal goreng Jawa. Jiran-jiran pula ada yang memberi ketupat daun kelapa.  Memang enak. Pada era 60-an dan awal 70-an, tiada istilah ketupat segera bagi kami.

Petang sebelum raya, antara tugas penulis ialah mengejar ayam. Biasanya emak memberitahu berapa ekor perlu ditangkap dan ayam yang mana. Penulis akan mengejar setiap ekor ayam yang ditetapkan. Letih juga mengejar berkeliling rumah, tetapi ayam pun cepat letih juga. Apabila letih, ayam akan berhenti berlari. Senanglah menangkapnya.

Abang menyembelih ayam yang ditangkap. Kemudian air direbus sehingga mendidih dan ayam dicelup ke dalam air panas untuk beberapa waktu. Tujuannya agar bulu ayam menjadi lembut dan senang dicabut. Selepas itu emak akan mula memasak untuk juadah pagi raya.

Menjelang maghrib, lampu dipasang di sekeliling halaman rumah sebagai perhiasan. Tiada lampu neon atau lampu berkelip-kelip kerana bekalan elektrik pun tidak ada di kampung. Sekadar lampu minyak tanah yang disangkut ke batang kayu atau buluh kecil.

Tugas penulis pada malam raya ialah memasang lampu gasoline. Mungkin tidak ramai kini yang mengenali lampu ini. Ia menggunakan sumbu dan minyak tanah. Sumbu dinyalakan dengan bantuan minyak spirit, lebih kurang seperti minyak petrol. Gasolin perlu dipamkan supaya sumbu menyala terang. Apabila malap, perlu dipamkan semula.

Cahaya lampu gasolin ini terang benderang bukan sahaja menyinari seluruh ruang rumah tetapi sehingga menyimbah ke halaman. Hanya pada hari raya sahajalah lampu ini dipasang di rumah penulis kerana hari raya adalah hari istimewa. Itu pun hingga hari raya kedua sahaja. Pada hari lain hanya lampu minyak tanah dinyalakan.

Dentuman meriam dan letupan mercun akan berlarutan sehingga fajar mula menampakkan cahaya. Ketika hari semakin terang, bunyi kian perlahan. Waktu ini semua sibuk pula bersiap untuk ke surau di kampung untuk solat sunat Aidilfitri.

Biasanya penulis dan kawan-kawan sebaya sama-sama berjalan kaki ke surau. Suasana di surau memang meriah kerana pada waktu itulah saudara mara atau penduduk kampung yang mencari rezeki di perantauan kembali ke desa bersama-sama meraikan hari raya. Memang seronok bertemu mereka yang sudah lama tak jumpa.

Selesai solat sunat Aidilfitri, jemaah akan menikmati juadah. Makanan atau kuih muih dibawa sendiri oleh para jemaah. Ramai yang membawa, maka pelbagai juadah dapat dinikmati bersama. Pihak surau hanya menyediakan minuman.

Bagi kanak-kanak sebaya penulis ketika itu, waktu inilah mereka mendapat duit raya. Penulis ingat seorang jemaah bernama Ajmain yang setiap kali solat hari raya akan membawa bersamanya seuncang duit siling. Duit ini kemudian diberi kepada kanak-kanak. Dapat dua kupang atau 20 sen ketika itu sudah banyak.

Selepas selesai jamuan di surau, akan diikuti kunjungan rumah ke rumah beberapa orang penduduk kampung. Inilah cara untuk memperkukuh silaturahim. Kampung penulis istimewa kerana ada pelbagai kaum, Melayu, Jawa, Banjar dan Kampar. Malah Cina pun ada.

Kunjung-mengunjungi bukan sahaja untuk menikmati juadah disediakan tuan rumah, tetapi untuk sama-sama berdoa demi kesejahteraan tuan rumah dan pengunjung.

Acara ini akan berlangsung hingga tengah hari. Selepas itu masing-masing pulang ke rumah untuk menghilangkan penat sementara menunggu pula saudara mara atau jiran-jiran datang berhari raya.

Namun ini semua kini tinggal kenangan, sekadar imbauan kisah enam dekad lalu. Kampung penulis di Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak juga sudah semakin sunyi. Ramai yang sudah menyahut seruan Ilahi atau yang merantau tidak kembali kerana ibu bapa sudah tiada. Apatah lagi, sudah dua tahun berturut-turut tidak boleh kembali berhari raya ke desa tercinta kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinggallah kesunyian mendakap desa yang semakin sepi. Tiada lagi keseronokan penulis berlari mengejar ayam atau memasang lampu minyak tanah. Tiada lagi dentuman meriam atau letupan mercun bersama riuh rendah anak muda pada subuh sunyi. Semuanya tinggal kenangan mengusik jiwa yang tetap terpahat di hati. Selamat Hari Raya.

-BebasNews

Leave a Reply