GUILHERME de Paula (empat dari kiri) bakal 'taring' baharu Harimau Malaya yang mengancam UAE, 3 Jun ini. - Foto FAM
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

‘TARING’ baharu Harimau Malaya, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula mungkin mampu mencetuskan kebingungan atau ‘enigma’ kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini.

Kapten negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak membuat andaian itu biarpun kedua-dua pemain naturalisasi terbaharu ini, hanya akan menikmati penampilan sulung pasukan negara dalam perlawanan di Stadium Zabeel, Dubai itu.

“Seperti UAE juga (menaturalisasikan dua pemain Brazil dan seorang Argentina), saya rasa kami juga begitu. Corak permainanan Liridon dan de Paula, mungkin jadi senjata pasukan kita.

“Kebanyakan kami pernah main dengan UAE (tewas 2-1 di Bukit Jalil, 10 September 2019) tetapi yang dua baharu ini boleh ganggu taktikal dan lawan akan tertanya-tanya mereka ini pemain yang sama atau berbeza.

“(Kehadiran Liridon dan de Paula) juga merupakan nilai positif buat pasukan negara,” katanya yang mula menyarung jersi Harimau Malaya sejak Piala Asia 2007, dalam sidang media dalam talian, hari ini.

Kedua-dua bekas warga Kosovo dan Brazil itu menambah tonggak barisan depan naturalisasi Harimau Malaya selepas sayap kiri, Mohamadou Sumareh dari Gambia, tiga tahun lalu.

UAE menjadi tuan rumah format baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G ini yang ditukar daripada timbal balik kepada karnival berpusat akibat tertunda sejak Mac 2020 dek Covid-19.

Dua lagi lawan skuad Tan Cheng Hoe ialah pendahulu kumpulan yang belum kalah, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand, 15 Jun – kesemuanya di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Sebelum itu, dua perlawanan persahabatan dengan Kuwait dan Bahrain (23 dan 28 Mei ini di Dubai dan Manama) turut akan menguji persediaan dan keserasian Harimau Malaya yang hanya dapat kembali berlatih Mac lalu setelah ‘bercuti’ kerana Covid sejak 19 November 2019.

“Perlawanan-perlawanan akan datang sentiasa menjadi amanah dan tanggungjawab saya sebagai ketua pasukan. Saya tidak pernah ambilnya sebagai bebanan yang terlampau, sebaliknya cabaran dalam karier bola sepak saya.

“Dalam kedudukan mata Kumpulan G sekarang dengan Malaysia, sembilan mata di tempat kedua, saya rasa peluang kami cerah dan paling hampir untuk ke peringkat seterusnya.

“Kami tidak boleh sia-siakannya sebab hendak dapat peluang sebegini lagi mungkin susah akan datang.Kami perlu kejar sembilan mata lagi atau kutip sebarang mata setiap satu perlawanannya,” katanya.

Ketiadaan gandingan bek tengahnya, Shahrul Saad diakui Aidil kurang menggembirakannya memandangkan bekas kapten Perak FC itu sentiasa rajin dan memberikan yang terbaik buat pasukan negara.

“Saya tiada masalah bermain dengan sesiapa pun. Macam (bek tengah lain) Adam Nor Azlin, Dominic Tan dan Junior Eldstal, kami pernah dan biasa bergandingan.

“Cuma dalam segi taktikal itu, individunya kena faham apa yang jurulatih Cheng Hoe lakukan, itu yang lebih penting, persefahaman patut tiada masalah,” katanya.

MOHAMADOU Sumareh (dua dari kiri) menjalani sesi latihan hari kedua Harimau Malaya bersama rakan-rakan sepasukan menjelang Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di UAE. – Foto FAM

Menurut Aidil, sesi latihan pusat sekarang menyaksikan kesemua 25 pemain yang hadir, bersikap positif untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan membuktikan mereka layak mendapatnya.

“Apabila sampai di UAE nanti, tidak kira siapa yang akan bermain pun termasuk saya, mesti boleh serasi dalam pasukan. Persahabatan dengan Kuwait dan Bahrain juga akan menjelaskan siapa kesebelasan utama kita,” katanya.-BebasNews

Leave a Reply