PETALING JAYA – Bekas menteri Zaid Ibrahim menyokong Timbalan Presiden Mohamad Hasan untuk menerajui Umno selepas pemilihan parti itu yang berikutnya, dengan berkata beliau paling layak berbanding calon lain.

Zaid berkata, bagaimanapun Mohamad perlu disokong oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang masih menjadi “orang paling popular di negara ini”.

Beliau yang pernah menjadi pemimpin Umno Kelantan, berkata Umno adalah sebuah parti yang menghargai kesetiaan terhadap perjuangan parti melebihi segalanya.

“Dan Tok Mat serta Najib adalah paling layak berbanding calon lain. Disebabkan populariti mereka,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Mohamad dengan nama panggilannya yang lebih dikenali itu.

Beliau berkata, pencabar lain dalam Umno tidak akan berpeluang mengambil alih tampuk pemerintahan parti dari presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka telah melakukan kesalahan besar bekerjasama dengan Bersatu tanpa sebarang keraguan,” kata Zaid, merujuk kepada PPBM, parti serpihan Umno yang dibentuk oleh Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin selepas mereka meninggalkan Umno.

Tambah beliau, selain Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, pencabar yang lain dilihat sebagai “oportunis”.

Zaid juga berkata, Mohamad mempunyai kelebihan kerana beliau dilihat bersikap kesederhanaan.

Katanya, ia adalah jenis pemimpin Umno yang diperlukan oleh rakyat sekarang selain beliau adalah seseorang yang tidak “terlalu kaya”.

“Umno tidak boleh terperangkap oleh hartawan yang kaya. Mereka memerlukan Tok Mat seorang yang sederhana. Dia juga akan bersikap sederhana dalam ucapannya,” kata beliau.

Sokongan Zaid terhadap Mohamad susulan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Johari Abdul Ghani yang mengenal pasti Mohamad sebagai pemimpin parti dan calon perdana menteri yang seterusnya.

Johari memberitahu akhbar The Star baru-baru ini bahawa Mohamad boleh mendapat kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga berkata, sebarang perubahan dalam kepimpinan parti hanya boleh berlaku sekiranya Umno menemui jalan penyelesaian antara Najib dan Zahid.

Dalam pada itu, Zaid berkata beliau yakin Najib dan Zahid akan dapat menyelesaikan masalah antara mereka, “kerana bagi mereka berdua, kebangkitan dan kemenangan terakhir Umno menjadi keutamaan”.

Tambah Zaid, Johari yang disifatkannya sebagai suara yang masuk akal dalam Umno, tepat pada analisisnya, dan ini seterusnya akan mendorong Mohamad kerana Umno menghargai teknokrat.

“Mereka (akar umbi) akan dengar ahli politik yang objektif dan berpengetahuan seperti Johari,” kata beliau.

Katanya, Umno mesti bersetuju dengan rancangan baru untuk menghidupkan semula parti; meskipun dalam keadaan darurat mungkin bermaksud pemilihan parti itu akan ditangguhkan, hari perhitungan akan tiba dan ahli Umno perlu bersedia.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/18/tok-mat-paling-layak-berbanding-calon-lain-kata-zaid/

Leave a Reply