Anggota Dolla sedia terima kritikan untuk lakonan pertama mereka.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

LAGU raya baharu yang menjadi pilihan ramai pada tahun ini ialah lagu Raya Raya Raya, dendangan kumpulan Dolla. Dalam tempoh dua minggu dimuat naik dalam YouTube, sudah mencecah 2.3 juta tontonan.

Dolla yang ditubuhkan pada 2019 dan dianggotai oleh Sabronzo, tabby, Angel dan Syasya sebelum ini popular dengan single sulung berjudul Dolla Make You Wanna.

Kumpulan yang sering dibandingkan dengan artis K-Pop iaitu Blackpink, sekarang ini cuba mengembangkan bakat seni mereka dalam bidang lakonan pula.

Persoalannya, mampukah anggota Dolla berlakon atau sekadar bergantung kepada populariti maka mereka diketengahkan sebagai pelakon.

Apa pun kita kena tengok dulu bakat lakonan mereka dalam telefilem Dolla Watch Me Glow, terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music yang bakal menemui penonton pada pukul 9 malam, 22 Mei ini menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Dolla dikatakan mirip dengan kumpulan Blackpink.

Dolla Watch Me Glow, arahan Izuan Mokhtar itu diinspirasikan dari kisah benar kumpulan tersebut. Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla adalah cetusan idea pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan tersebut wajar dikongsi bersama penonton.

Bagi Sobronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, Dolla tidak sangka pihak Astro berminat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.

“Apabila pihak Universal Muisc memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut. Buka napa, jika hendai dibandingkan dengan artis lain, Dolla masih kerdil dan baru setahun jagung dalam industri seni.

“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu. Bagaimanapun kami tetap berbangga, sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” katanya tersenyum.

Sabronzo mengaku sedikit kekok ketika berada di set penggambaran, namun dengan bantuan pengarah serta kru, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing.

Azwan Ali turut berlakon dalam telefilem Dolla Watch Me Glow yang bakal bersiaran pada 22 Mei ini.

“Susah sebenarnya nak jadi pelakon, apatah lagi ini pengalaman pertama anggota Dolla. Kami bersyukur kerana pengarah dan kru banyak membantu. Bagi saya perkara paling sukar untuk dilakonkan, bila babak menangis.

“Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya dan dia minta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh menghayati babak menangis.

“Saya amat mengagumi Tabby dan Syasya kerana mereka boleh melakonkan adegan menangis secara semulajadi, biarpun pertama kali berlakon,” cerita Sabronzo pengalamannya di set penggambaran.

Menurut Sabronzo, hampir 70 peratus kisah dalam Dolla Watch Me Glow merupakan kisah sebenar anggota Dolla dan selebihnya ditokok tambah.

Pelbagai kisah suka duka Dolla dikongsikan dan banyak perkara yang mungkin tidak diketahui oleh peminat mereka sebelum ini. Kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan.

“Ya benar, hampir 70 peratus yang dipaparkan dalam telefilem itu kena mengena dengan kisah hidup Dolla. Selebihnya ditokok tambah bagi mewarnai jalan cerita agar tampak lebih menarik.

Dolla beruntung kerana ada pihak berminat dengan kisah perjalanan seni mereka.

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami berlakon seperti ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan.

“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” ujarnya yang sudah mula menyukai bidang lakonan.

Malah kata Sabronzo, anggota Dolla bersedia untuk lebih serius dalam bidang lakonan serta tidak akan menghalang anggota lain jika menerima tawaran berlakon secara individu.

Sementara itu, Pengarah Kreatif dan penulis skrip, Marr Mohamad berkata, beliau tidak sangka anggota Dolla mampu beraksi dengan baik di hadapan kamera.

Malah beliau juga telah menghabiskan masa kira-kira lima jam dengan anggota Dolla bagi mendapatkan kisah perjalanan hidup mereka.

Apa yang ditonjolkan dalam telefilem Dolla Watch Me Glow adalah 70 peratus kisah benar anggota kumpulan Dolla.

“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Kita tidak tahu bahawa ada ahli keluarga Dolla yang menentang hasrat mereka untuk bergelar artis.

“Turut diketengahkan tentang masalah Dolla yang berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor akibat tertekan dengan buli siber.

“Asalnya anggota Dolla datang ke Universal Music sebagai penyanyi solo tapi mereka digabungkan menjadi sebuah kumpulan. Telefilem ini memaparkan bagaimana kumpulan ini bermula dan dari mana mereka mendapat nama Dolla,” cerita Marr tentang perjalanan cerita Dolla Watch Me Glow.

Selain Dolla, turut menjayakan telefilem tersebut ialah Azwan Ali, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply