Oleh Fetty Rara

JERMAN kini dengan rasminya mengakui bahawa negara itu pernah melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai semasa menjajah Namibia pada kurun ke-20.

Pada masa itu penjajah Jerman telah membunuh berpuluh ribu kaum Herero dan Nama untuk menghapuskan kedua-dua kaum itu dari muka bumi, lapor bbc.com.

Setelah begitu lama tragedi tersebut berlaku akhirnya Menteri Luar Jerman Heiko Maas pada Jumaat (28 Mei) mengakui perlakuan genosid itu.

Sehubungan itu beliau berkata dalam konteks sejarah dan tanggungjawab moral, Jerman akan memohon maaf kepada waris dan seluruh keturunan semua mangsa.

Maas berkata sebagai melambangkan kesedaran di atas segala penderitaan terhadap mangsa, Jerman akan menyumbang sebanyak £940 juta untuk pembangunan Namibia.

Perjanjian itu akan menyaksikan penyaluran dana selama 30 tahun bagi infrastruktur, penjagaan kesihatan dan program latihan kepada masyarakat Herero dan Nama hari ini.

Jurucakap kerajaan Namibia berkata tindakan Jerman itu dianggap sebagai langkah pertama ke arah yang betul.

Bagaimana pun, beberapa pemimpin kedua-dua kaum tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut kerana dikatakan tidak memadai.

Jerman menjajah Namibia dari 1884 hingga 1915, dan sepanjang waktu itu berpuluh ribu kaum Herero dan Nama yang bangkit memberontak telah dianiayai dan seterusnya menjadi mangsa program zalim Jerman untuk menghapuskan seluruh keturunan mereka.

-BebasNews

Leave a Reply