Oleh Zainal AS Rashid
SEMUA surat kebenaran kerja untuk perjalanan merentas daerah dan negeri yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) hanya sah hingga hari ini (Isnin 31 Mei).
Bermula esok semua surat berkenaan tidak lagi boleh diguna pakai.
Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri berkata surat-surat tersebut tidak lagi boleh digunakan bermula 1 Jun dan surat kebenaran untuk perjalanan sebaliknya akan dikeluarkan oleh kementerian berkaitan.
Beliau yang berkata demikian pada sidang media bersama pada Ahad (30 Mei) berkata jika ia berkaitan dengan sektor pertanian, kementerian tersebut akan mengeluarkan permit.
Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Miti berkata kementerian itu tidak lagi dimandatkan untuk memberi kelulusan bagi sektor-sektor selain pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS).
MITI berkata sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat mendapat surat kelulusan MITI yang boleh dimuat turun daripada portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
Syarikat pembuatan yang sedia berdaftar dengan CIMS 3.0 boleh memuat turun surat kelulusan MITI yang baharu dan mengemas kini senarai pekerja mereka sekiranya perlu, berkuat kuasa 8 semalam.
Syarikat pembuatan yang masih belum mendaftar boleh berbuat demikian bermula 1 tengah hari pada Isnin, 31 Mei.
Butiran cara mendaftar bagi CIMS 3.0 (notification.miti.gov.my) boleh diakses melalui pautan www.miti.gov.my.
“Mereka yang dibenarkan beroperasi wajib memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh mengakibatkan kompaun dan/atau penutupan premis,” kata kenyataan itu.
Pekerja dalam sektor pembuatan dan MRS memerlukan surat kelulusan kementerian itu, surat pengesahan lantikan daripada majikan atau kad pekerja untuk pergerakan ke tempat kerja.
Kapasiti pekerja di bawah SOP sekarang kekal pada 60 peratus.
-BebasNews