PRESIDEN El Salvador, Nayib Bukele bersama isterinya, Gabriela Rodríguez de Bukele / Foto: Wikimedia Commons.

Oleh Fetty Rara

PRESIDEN El Salvador Nayib Bukele berkata beliau akan menjadikan Bitcoin sebagai mata wang kripto sah di negara itu.

Rancangan yang disokong oleh kongres negara Amerika Tengah itu bakal menjadikan El Salvador negara pertama di dunia dengan rasminya mengguna pakai mata wang digital, lapor bbc.com.

Bitcoin akan digunakan bersama dolar Amerika yang juga merupakan mata wang rasmi negara itu.

Menurut Nayib Bukele penggunaan Bitcoin akan memudahkan rakyat negara yang tinggal di seberang laut menghantar pulang wang ke El Salvador.

Beliau memberitahu satu persidangan Bitcoin di Florida bahawa dari segi jangka panjang inisiatif tersebut akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik seluruh penduduk El Salvador menikmati ekonomi formal yang sejak sekian lama terpinggir kerana tidak mempunyai aset kukuh bagi mendapatkan perkhidmatan bank.

Penggunaan mata wang Bitcoin juga dilihat sebagai usaha bagi meningkat pelaburan ke negara itu.

Nayib Bukele berkata beliau akan mengemukakan cadangan perubahan undang-undang kepada kongres minggu depan.

Jika diluluskan El Salvador bakal membuka luas perkhidmatan perbankan kepada lebih 70 peratus penduduk negara itu yang tidak mempunyai akaun bank.

Ekonomi El Salvador banyak bergantung pada penghantaran pulang wang dari seberang laut, yang mencatatkan kira-kira 20 peratus Keluaran Negara Kasar (KDNK).

Lebih dua juta rakyat El Salvador yang tinggal di luar negara masih mengekalkan pertalian dengan tanah air mereka dengan menghantar pulang lebih US$4 bilion setiap tahun.

Mata wang Bitcoin lebih mudah digunakan bagi menghantar wang ke mana-mana berbanding cara tradisional dengan caj penghantaran  dan masa yang lama untuk disampaikan kepada penerima.

-BebasNews

Leave a Reply