Tangkap layar yang menunjukkan pejuang-pejuang Hamas dalam terowong yang diserang tentera Israel.

BAITULMUQADDIS – Pemimpin Hamas di Gaza Yahya Sinwar berkata tidak sampai tiga peratus rangkaian terowong yang menjadi kubu kumpulan pejuang Hamas, musnah akibat serangan bertalu-talu tentera Israel dalam konflik bersenjata selama 11-hari baru-baru ini.

Beliau berkata, serangan roket Hamas hanya merupakan sebahagian daripada kekuatan sebenar kumpulan berkenaan dan hanya roket yang lama termasuk pelancaran 300 roket terhadap Tel Aviv, digunakan dalam serangan itu.

Yahya berkata demikian sehari selepas stesen penyiaran Al-Jazeera menyiarkan klip video yang diambil dalam terowong bagi mengesahkan kenyataan Hamas bahawa tentera Israel gagal memusnahkan sebahagian besar rangkaian terowong bawah tanah yang menjadi pusat operasi para pejuang.

Klip video itu juga menunjukkan sebahagian kecil terowong yang musnah telah pun berjaya diperbaiki sepenuhnya.

Dalam konflik sebelum ini, majoriti serangan roket tertumpu kepada bahagian selatan dan tengah Israel dan 13 rakyat Israel terkorban.

Yahya berkata, sebarang pertempuran yang berlaku pada masa hadapan akan menyebabkan berlaku perubahan kepada rantau berkenaan sambil menyatakan perlunya untuk mempertahankan rakyat Palestin ke atas Baitulmuqaddis.

Minggu lalu, Sinwar memberikan amaran akan meneruskan serangan roket ke atas Israel jika terus menceroboh masjid Al-Aqsa.

Pejuang Hamas sebelum ini melakukan serangannya ke atas Tel Aviv selepas tentera Yahudi dan puak pelampau cuba mengusir rakyat Palestin daripada rumah kediaman mereka di Sheikh Jarrah dan rancangan perarakan bendera yang kontroversi di Bandar Lama Baitulmuqaddis oleh kumpulan pelampau Yahudi.

Dalam serangan itu lebih 4,000 roket dilancarkan ke atas Israel.

– BebasNews

Leave a Reply