ILUSTRASI oleh Yuchen.

 

Oleh Fetty Rara

SPESIES baharu badak gergasi zaman batu yang merupakan mamalia paling besar pernah berjalan di darat telah ditemukan di bahagian barat laut China.

Menurut para pengkaji badak spesies Paraceratherium linziaense seberat 21 tan itu hidup pada sekitar 26.5 juta tahun dahulu.

Haiwan tanpa tanduk itu dikatakan boleh mencecah ketinggian hingga 7 meter.

Butiran terbaharu yang diperoleh itu adalah berikutan penemuan beberapa fosil di wilayah Gansu, lapor bbc.com.

Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Communications Biology pada Khamis (17 Jun), saintis berkata bahawa analisis ke atas fosil yang ditemukan berhampiran kampung Wangjiachuan pada 2015 menunjukkan kewujudan spesies terbaharu yang berbeza daripada spesies-spesies badak gergasi yang pernah ditemukan sebelum ini.

Tengkorak dan bahagian tulang rahang fosil itu menunjukkan bahawa haiwan tersebut mempunyai tengkorak langsing, termasuk belalai dan hidung yang sama dengan tapir (tenuk) zaman sekarang.

Kajian ke atas fosil tersebut dilakukan oleh sekumpulan saintis China yang diketuai oleh Dr Deng Tao dari Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoantropologi di Beijing.

Saintis juga mendapati bahawa spesies baharu itu mempunyai persamaan dengan badak gergasi yang pernah hidup di Pakistan, justeru menimbulkan kemungkinan mamalia tersebut telah berjalan merentas Asia Tengah.

Jika teori yang mengatakan bahawa spesies badak itu bebas bergerak di antara bahagian barat China dan benua kecil India-Pakistan, ia bermakna bahawa Dataran Tinggi Tibet pada zaman itu merupakan sebuah kawasan rendah.

Keadaan iklim tropika pada zaman itu juga dikatakan telah membolehkan spesies badak gergasi tersebut bergerak semula ke arah bahagian Asia tengah, justeru menyiratkan bahawa kawasan Tibet ketika itu masih belum menjadi kawasan dataran Tinggi.

-BebasNews

Leave a Reply