KUALA LUMPUR – Syarikat Kredit Komuniti diwujudkan bagi membantu orang ramai yang mengalami kesukaran membuat pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank, dan bukannya ‘ah long’ sebagaimana dakwaan beberapa pihak.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad berkata, selain itu, Kredit Komuniti dikawal di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang jelas memberi garis panduan kepada pemberi pinjam dan peminjam wang.

“Ia juga jelas memberikan hak dan perlindungan kepada peminjam daripada diperas dan tindakan biadab ceti haram seperti yang pernah dilaporkan oleh media, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak sebelum ini yang menyifatkan perkhidmatan sektor Kredit Komuniti sebagai ‘ah long’.

Katanya lagi, syarikat kredit komuniti juga tidak dibenarkan mengunjungi dan mengutip bayaran di rumah, pejabat atau mana-mana lokasi selain pejabat operasi mereka.

“Syarikat berkenaan juga dikawal dengan syarat faedah pinjaman serta denda jika mengingkari akta sehingga RM250,000 dan penjara tiga tahun bagi kesalahan tersebut serta denda RM10,000 atau RM1,000 sehari jika gagal menyimpan rekod akaun peminjam yang tepat.

“Peminjam Kredit Komuniti yang culas dan ingkar boleh dikenakan tindakan Mahkamah Sivil jika didapati bersalah,”katanya.

-BebasNews

Leave a Reply