RONALD Kiandee (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada seorang penduduk di Kampung Maidan, Beluran, Sabah semalam. – Gambar ihsan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

SETELAH genap lebih setahun dilancarkan, sejumlah 15,612 usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro tani dibantu melalui Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kesemua pemohon itu menerima pembiayaan diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM198.67 juta.

“Inisiatif di bawah Pelan Jalan Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu bagi menyokong sektor pertanian dan jamin keselamatan makanan negara ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 ketua isi rumah di Kampung Maidan, Daerah Beluran, Bahagian Sandakan, Sabah semalam.

Ia merupakan sebahagian daripada 16,000 bakul makanan diagihkan oleh beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, jumlah diluluskan Agrobank setakat 16 Jun lalu belum mencapai 60 peratus daripada peruntukan RM350 juta di bawah pakej khas Penjana tersebut.

“Skim ini diberikan dana amat besar untuk bantu golongan petani, penternak dan nelayan di seluruh negara yang terkesan akibat pelaksanaan PKP susulan wabak Covid-19,” katanya.

Justeru beliau menyeru mereka yang berminat menceburi sektor PKS mikro tani agar merebut peluang disediakan kerajaan melalui Agrobank bagi meningkatkan lagi taraf sosioekonomi.

Kerajaan ujarnya, telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM340 bilion walaupun mempunyai kapasiti ruang fiskal terhad.

Langkah yang diambil itu diharap mampu memberikan pelbagai impak positif dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan serta menyediakan bantuan kepada rakyat.

“Kerajaan sentiasa beri penekanan khusus terhadap dasar sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara berada atas landasan betul,” jelasnya.

Bagaimanapun tambahnya, kejayaan Penjana disusuli Pelan Pemulihan Negara yang baru diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun lalu, memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat.

Justeru, Ronald meminta masyarakat tani agar membantu pihak kerajaan dengan disiplin kendiri tinggi selain menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan kehidupan akan kembali normal.

– BebasNews

Leave a Reply