Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Kerajaan ingin memaklumkan bahawa kawal selia Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu solusi interim yang tidak akan mengubah sifat asal institusi itu sebagai agensi unggul dalam pengurusan jemaah haji.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menyebut, hal ehwal haji juga masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dari sudut TH pula, kenyataan itu memberitahu, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju institusi berkenaan, pengurusan dan operasi haji.

“Usaha kawal selia TH dari sudut pengambilan deposit, pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM adalah solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

“Kerajaan juga tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan turut memberi jaminan penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya institusi itu kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji, selain untuk pelaburan.

Katanya, TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia berikutan jumlah depositnya yang mencecah RM82 bilion.

“Selain itu, TH juga mempunyai hubungan yang rapat dengan sistem kewangan terutama sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

“Penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan,” katanya.

Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa skop pengawal seliaan BNM pada waktu ini adalah sementara menunggu selesai RCI adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan dengan rangka kerja pengawalselaian yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

Katanya, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah serta individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit tidak akan timbul sama sekali,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang serta tadbir urus yang berhemah selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti rasuah.
i
“Prinsip ini bukan sesuatu yang buruk dan telah digunapakai secara meluas di Malaysia. Contohnya Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) yang mempunyai akta tubuh masing-masing serta anak syarikat TH iaitu Bank Islam,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply