KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 15,902 kes baharu Covid-19 dan 184 kematian, manakala 9,471 pesakit sembuh.

Sebelum ini, rekod tertinggi adalah 15,573 kes yang dilaporkan semalam.

Ini menjadikan keseluruhan 834,858 daripada 996,393 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 7,902 lagi meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 153,633 kes aktif, dengan 468 daripada 950 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 7,351 kes.

Ia disusuli Kuala Lumpur (2,406), Kedah (867), Johor (804), Sabah (712), Melaka (631), Negeri Sembilan (625), Pulau Pinang (505), Kelantan (502), Perak (469), Pahang (406), Terengganu (267), Sarawak (261), Putrajaya (59), Labuan (30) dan Perlis (tujuh).

Daripada jumlah kes baharu itu, 25 ialah kes import dan baki 15,877 kes penularan tempatan membabitkan 12,842 warganegara serta 3,034 warga asing.

Hisham berkata, 260 kes baharu itu dalam Kategori 5, 129 kes Kategori 4 dan 127 kes Kategori 3. Keseluruhannya, 96.8% daripada kes hari ini ialah Kategori 1 atau 2.

Katanya, 184 kematian itu terdiri daripada 157 warganegara dan 27 warga asing, dengan semuanya kecuali 36 orang mempunyai sejarah penyakit, manakala 32 orang hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.

Selangor mencatatkan angka korban tertinggi dengan 87 kematian, disusuli Kedah (17), Pahang (16), Negeri Sembilan (15), Kuala Lumpur (13), Johor (10), Sabah (lapan), Melaka (tujuh), Pulau Pinang (enam), Terengganu (tiga) dan Sarawak (dua).

Setakat semalam, Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan negara ialah 1.09 berbanding 1.07 pada hari sebelumnya.

Terengganu terus mencatatkan R-nought tertinggi pada 1.37, manakala negeri dengan R0 melebihi 1.0 adalah Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.22), Kelantan (1.2), Putrajaya (1.19), Johor (1.19), Sabah (1.17), Pahang (1.17), Selangor (1.15), Melaka (1.12), Kuala Lumpur (1.11), Perak (1.07), Negeri Sembilan (1.04) dan Sarawak (1.03).

https://bit.ly/2V9ON66

Leave a Reply