LEE Zii Jia membawa Jalur Gemilang dan di sebelahnya, Goh Liu Ying ketika perarakan kontinjen Malaysia dalam upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo di Stadium Olimpik, Tokyo, Jepun. - Foto MSN

SAMA ada kita akan berpegang teguh kepada prinsip persaudaraan dengan Palestin menentang rejim Israel atau memilih untuk mempertahankan semangat kesukanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021)?

Soal itu akan teruji jika Lee Zii Jia atau Soniia Cheah bertembung dengan perseorangan lelaki dan wanita Israel, Misha Zilberman dan Ksenia Polikarpova dalam peringkat kalah singkir badminton nanti.

Namun Zii Jia dan Soniia masing-masing perlu menjuarai Kumpulan M dan N untuk terus memburu podium Olimpik Ke-32 di Plaza Sukan Musashino ini.

Juara Seluruh England 2021 itu kalau terus mara dan berjumpa Misha, 32, daripada Kumpulan D, mungkin pada perlawanan akhir atau penentuan pingat gangsa.

Bekas anggota tentera Israel 2007 hingga 2010 itu mengejutkan pemain India yang juga pilihan ke-13 Olimpik Tokyo, Sai Praneeth hari ini dalam saingan Kumpulan D, 21-17, 21-15.

Laluannya terdahulu masih perit kerana selain perlu melepasi Brice Leverdez (Perancis) dan Artem Pochtarov (Ukraine) pada peringkat kumpulan, dijangka menantinya pada pusingan kedua ialah juara Olimpik 2016, Chen Long dari China.

Andaikan juga Soniia juara Kumpulan N, begitu juga Ksenia dalam Kumpulan J malah menang seterusnya – mereka mungkin bersemuka pada separuh akhir.

Pada Mei lalu, nama Misha, pemenang pingat gangsa Sukan Eropah 2019, pernah tular dalam laman sosial sebagai peserta Kejohanan Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil yang sudah pun ditangguhkan kerana Covid-19.

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membuka langkah kanan di Plaza Sukan Musashino.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ingin menegaskan, penyertaan mereka (Misha dan ibunya, Svetlana dalam beregu campuran) tidak pernah diluluskan sejajar dengan dasar luar negara kerajaan Malaysia,” lapor Facebook rasmi BAM, 15 Mei lalu.

Kementerian Belia dan Sukan pada hari sama, menyebut dalam laman Facebooknya: “Kami tidak pernah dan tidak akan memberikan sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel dalam sebarang kejohanan sukan termasuk Terbuka Malaysia 2021. Syarat (larangan terhadap atlet Israel ke Malaysia) telah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.”

Sanggupkah kita korbankan laluan dan peluang yang sekiranya sudah terbentang untuk meraih pingat Sukan Olimpik apatah lagi emas sekiranya ditakdirkan seperti laporan AFP dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Atlet judo Algeria, Fethi Nourine dan jurulatihnya, Amar Benikhlef dihukum dengan dibatalkan akreditasi (penauliahan) Sukan Olimpik Tokyo kerana perjuangan mereka menyokong Palestin.

Mereka turut akan dihantar pulang Jawatankuasa Olimpik Algeria kerana Nourine enggan bertarung dengan atlet Israel, Tohar Butbul dalam pusingan kedua kategori 73 kilogram lelaki sekiranya menewaskan atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool.

“Kami bekerja keras untuk sampai ke Olimpik… tetapi perjuangan untuk Palestin jauh lebih besar daripada ini,” kata Nourine yang berpegang teguh dengan pendiriannya.

Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) telah mengumumkan penggantungan sementara Nourine dan Benikhlef kerana pendirian atlet Algeria itu bertentangan dengan falsafah badan induk sukan tersebut.

Penarikan diri daripada menentang atlet Israel ini bukanlah kali pertama oleh Nourine yang pernah melakukannya pada Kejohanan Dunia 2019 di Tokyo.

OG2020 - MALAYSIAN IN ACTION (250721) (1)

– BebasNews

Leave a Reply