pandemic, covid-19, mask
Photo by sergo75-75 on Pixabay
Oleh Dr Shahino Mah Abdullah

PANDEMIK Covid-19 bukan sahaja mengancam kesihatan awam dan memberi impak buruk kepada ekonomi negara, ia juga telah menjejaskan alam sekitar di serata dunia tanpa disedari. Pencemaran plastik dilaporkan meningkat akibat pembuangan pelitup muka dan sarung tangan pakai buang terutamanya di kawasan bandar.

Pelitup muka yang telah digunakan seharusnya dibuang dengan betul. Kita dinasihatkan supaya sekurang-kurangnya membuang pelitup muka dengan melipatkannya sebelum dibungkus dengan beg plastik jika tong sampah tidak berada berhampiran agar ia tidak dibuang merata.

Malangnya, pelitup muka terpakai telah dijumpai di dalam sungai, lautan mahupun di perairan pantai. Ini akan mengakibatkan hidupan laut mengalami kecederaan serius dan boleh mengakibatkan kematian sekiranya termakan sisa buangan tersebut. Tambahan pula, kebanyakannya dibuat dari bahan polipropilena yang mudah hancur menjadi mikroplastik di dalam air dan membuatkannya hampir mustahil untuk dikeluarkan.

Selain itu, penurunan pencemaran udara sumbangan dari perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sektor ekonomi disebabkan pandemik masih tidak berupaya menangani krisis perubahan iklim. Berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (International Energy Agency), unjuran pelepasan karbon dioksida (CO2) global pada 2020 dianggarkan berjumlah sekitar 47 bilion tan karbon, hampir lapan peratus kurang dari jumlahnya pada tahun 2019.

Jumlah pengurangan pelepasan ini dibayar dengan lebih dari satu juta kematian, sementara puluhan juta tidak dapat bekerja, menunjukkan betapa tinggi kosnya untuk mengurangkan pelepasan CO2 dengan penutupan sektor terjejas disebab pandemik.

Pada masa sama, ‘kesan kebangkitan semula’ (rebound effect) yang menyaksikan kenaikan paras pelepasan CO2 dijangka berlaku seawal beberapa bulan setelah PKP dihentikan dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Ini disokong dengan penelitian yang dibuat berdasarkan ‘Krisis Kewangan Global 2008-2009’ yang lalu, dimana pelepasan CO2 global meningkat dengan cepat pada tahun 2010 berikutan suntikan pelaburan yang besar oleh banyak negara untuk mendorong pemulihan ekonomi yang pesat.

Tempoh pasca penutupan (post-lockdown) akan menyaksikan banyak kilang bergiat aktif untuk menebus masa dan wang ringgit yang hilang. Ia juga disertai dengan peningkatan kelulusan pembinaan loji tenaga arang batu yang baru, seperti yang berlaku di negara tembok besar, dimana ia akan bertahan selama bertahun-tahun dan sekaligus menyaksikan peningkatan ketara pelepasan CO2.

Malah, negara pemimpin ekonomi utama dunia (G20) pula telah merancang menjadikan bahan bakar fosil berjumlah $207 bilion dalam langkah rangsangan pasca-pandemik mereka, berbanding hanya $137 bilion peruntukan untuk tenaga bersih.

Malang sekali, kebanyakan aktiviti ekonomi konvensional sebelum pandemik mahupun semasa proses pemulihan, dicapai dengan mengorbankan alam sekitar. Oleh itu, strategi pemulihan ekonomi hijau diperlukan untuk memulihara alam sekitar ketika negara sedang berusaha membina semula ekonomi dan menangani pengangguran pasca pandemik.

Kita tidak seharusnya mengambil ringan dan mengabaikan alam semulajadi begitu sahaja. Dalam hal ini, kita harus kembali dan meneliti semula peringatan Tuhan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran: “Berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Quran 28:77).

Antara langkah pemulihan hijau yang boleh diambil bagi setiap individu adalah dengan mengendalikan sisa buangan dengan betul serta mengamalkan penggunaan tenaga dengan bijak. Strategi pengendalian sisa buangan perlulah juga mengambil kira pembelian dan penggunaan produk harian yang lebih mesra alam sejak dari mula lagi.

Kita digalakkan untuk memilih produk yang boleh diguna semula (reusable), tahan lama dan selamat, berbanding produk sekali guna (single use) kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan sisa buangan, malah ia dapat mengurangkan dan menjimatkan sumber bahan yang sedia ada untuk kelangsungan jangka masa panjang.

Di samping itu, transisi atau peralihan dari produk berasaskan bahan plastik kepada yang lebih mesra alam adalah amat digalakkan. Ini dapat memastikan sisa atau barangan yang terpakai dapat terurai dengan mudah sekiranya ia terus terbuang ke alam sekitar.

Bagi memastikan langkah di atas dapat dilaksanakan dengan baik, pihak pembekal dan industri pembuatan perlulah mampu untuk menghasilkan dan membekalkan barangan yang lebih mesra alam dengan lebih banyak seiring dengan permintaan pengguna.

Barangan mesra alam berkenaan perlulah juga mudah didapati serta mampu milik supaya tidak merencatkan usaha peralihan kepada pembelian barangan yang lebih mesra alam ini. Penggunaan tenaga hijau dalam industri amatlah digalakkan dalam penghasilan barangan yang mesra alam dan boleh diguna semula ini.

Ia boleh dilakukan dengan strategi campuran tenaga bersih ke dalam sumber tenaga yang sedia ada bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil. Ini sekaligus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar ekoran pelepasan CO2 yang mendadak dalam tempoh pasca pandemik akibat ‘kesan kebangkitan semula’ (rebound effect) dari aktiviti perindustrian seperti yang telah disebutkan di atas.

Pihak industri juga tidak seharusnya melepaskan sisa kotoran mahupun bahan kimia berbahaya ke dalam sungai seperti yang berulang kali terjadi dibeberapa buah negeri sejak sebelum pandemik ini berlaku.

Bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang, pengawasan berterusan dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh pihak berwajib perlulah dilaksanakan dengan lebih berkesan lebih-lebih lagi sewaktu pasca pandemik yang akan menyaksikan lebih banyak lagi kilang yang akan dibuka untuk beroperasi.

Pihak kerajaan juga perlu menggalakkan semua industri untuk mengambil langkah campuran tenaga bersih bagi mengurangkan pelepasan CO2 ke alam sekitar. Ia juga boleh dimulakan di peringkat kerajaan dengan menekankan ‘kepentingan tenaga hijau’ ke dalam Pelan Pemulihan Negara di fasa-fasa pemulihan yang berikutnya.

Pemulihan hijau adalah amat penting kepada negara bukan sahaja untuk memelihara alam sekitar, tetapi ia juga dapat memberi pemulihan ekonomi yang lestari, sekaligus membuka lebih banyak lagi peluang kerjaya kepada rakyat yang terjejas disebabkan pandemik ini. – BebasNews

 

Shahino Mah Abdullah

Dr Shahino Mah Abdullah. Penulis merupakan Felo Penyelidik di Institut Kajian Tinggi Islam Malaysia atau International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emel: [email protected]

Leave a Reply