TOKYO – Jepun kini berdepan dengan lonjakan jangkitan Covid-19 yang ketara apabila kes harian Covid-19 mencecah paras 10,000 buat pertama kali semalam dipercayai berpunca daripada penularan varian Delta, lapor Agensi Berita Kyodo.

Perdana Menterinya Yoshihide Suga yang menafikan bahawa peningkatan itu disebabkan oleh dengan penganjuran Sukan Olimpik, berdepan tekanan untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih ketat.

Jumlah baharu kes di seluruh negara adalah sebanyak 10.693 kes termasuk 3,865 di Tokyo, yang mencatat rekod tertinggi untuk hari ketiga berturut-turut.

Jumlah purata kes dalam tempoh seminggu di Tokyo juga meningkat kepada 2224.1 dalam masa sehari, meningkat sebanyak 61.9 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Meskipun jumlah orang yang mengunjungi kawasan pusat bandar sedikit menurun, lonjakan jangkitan terus berlaku berikutan penularan varian Delta.

Kerajaan telah meletakkan Tokyo di bawah perintah darurat buat kali keempat bermula 12 Julai hingga 22 Ogos, dengan rakyatnya melakukan kawalan kendiri tanpa perlu kerajaan mengenakan langkah sekatan yang ketat seperti negara-negara lain.

– BebasNews

Leave a Reply