APAKAH status Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO didapati tidak sah dan tiada lagi keabsahan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam?

Adakah beliau juga masih sah menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN)?

Tiada lagi precedent atau duluan dalam kes-kes seperti itu dalam masa terdekat, namun pada 1988 sebaik sahaja mahkamah mengharamkan UMNO, Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan segera meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN sekali gus.

Berikutan itu, Presiden MCA ketika itu, Dr Ling Liong Sik mengambil alih memangku jawatan Pengerusi BN.

Adakah perkembangan yang sama akan berlaku kepada Zahid?

Ekoran daripada keputusan ROS itu, Majlis Tertinggi BN kemungkinan dijangka bermesyuarat bagi membincangkan kemelut terbaharu dalam politik UMNO.

Mungkinkah antara agenda yang bakal dibincangkan ialah mengenai kedudukan pengerusi BN yang kini dipegang oleh Zahid?

Jika duluan tahun 1988 diambil kira, Zahid terpaksa berundur dan digantikan dengan calon baharu.

Antara calon yang difikirkan sesuai ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden nombor satu UMNO.

Mungkin Datuk Seri Mohamad Hassan selaku Timbalan Presiden UMNO tidak begitu sesuai dalam situasi sekarang kerana beliau bukan seorang Ahli Parlimen dan juga tiada jawatan dalam kerajaan.

Kebarangkalian itu dikuatkan lagi dengan sokongan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dalam suratnya kepada Setiausaha Agung UMNO memaklumkan bahawa keputusan MT UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat parti itu selama 18 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah.

Menurut Pendaftarnya Jasri Kasim, pihaknya berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MT UMNO bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

Kata beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada UMNO mengenai petikan minit mesyuarat MT bertarikh 7 Julai 2021 mengenai penangguhan pemilihan MT, Bahagian, Cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri untuk penggal 2021/2023.

“Keputusan (oleh UMNO) itu tidak sah kerana penggal penyandang-penyandang MT bagi tempoh 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun,” katanya semalam (6 Ogos).

Apa yang pasti, drama politik UMNO ini akan terus membara, sekiranya benar BN mengambil keputusan terhadap Zahid, apa pula kedudukan beliau dalam UMNO sendiri?

Yang pasti, menurut pemerhati politik UMNO sudah berpecah dua dan kembali kepada kemelut team A dan B, iaitu kali ini di antara — team Zahid dan Ismail Sabri.

Kita lihat siapa yang akan menang.

— BebasNews

Leave a Reply