Daun ketum yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan di Segamat baru-baru ini

JOHOR BAHRU – Hasil yang lumayan mungkin menjadi mendorong tiga penjawat awam dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi sanggup membuat ‘kerja sambilan’ menjual air ketum.

Apa tidaknya kerana mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM18,000 sebulan.

Namun, kegiatan itu tidak bertahan lama apabila mereka diberkas pihak berkuasa baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua lelaki yang berusia antara 22 hingga 43 tahun itu ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah Segamat, baru-baru ini.

“Daalam serbuan pertama pukul 8.10 malam, 2 Ogos lalu, seorang penjawat awam dan seorang penuntut IPT, masing-masing berusia 39 dan 22 tahun diberkas bersama sejumlah rampasan air ketum.

“Ujian saringan mendapati penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Susulan itu, dalam serbuan kedua polis berjaya menahan seorang lelaki, juga seorang penjawat awam berusia 38 tahun bersama sejumlah rampasan air ketum.

“Hasil maklumat dan risikan, satu lagi serbuan dibuat di daerah yang sama dan menahan seorang lagi penjawat awam berusia 43 tahun bersama sejumlah daun dan air ketum,” katanya

Ayob Khan berkata, dalam tiga serbuan itu, polis merampas 80 kilogram daun ketum dan sembilan liter air ketum dengan nilai rampasan sebanyak RM890.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam aktiviti memasak air ketum untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Segamat sejak enam bulan lalu.

“Hasil jualan air ketum ini untuk dua minggu sebanyak RM9,000. Kalau sebulan dapat RM18,000, banyak itu pendapatan sebulan jual air ketum sahaja,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply