Intel Free Press, CC BY 2.0 , via Wikimedia Commons

Oleh Zainal AS Rashid

FACEBOOK pada Khamis (12 Ogos) mengumumkan pelaburan sejumlah AS$800 juta untuk membina sebuah pusat data di Mesa, Arizona.

Menurut akhbat Arizona Republic, pusat data pertama dibina di Arizona yang menggunakan tenaga solar itu dijangka siap dalam dua tahun lagi dan akan menempatkan alat penghala, suis, pelayan, sistem penyimpanan dan lain-lain perkakasan.

Facebook berkata pusat baharu itu akan menjimatkan penggunaan air sebanyak 60 peratus berbanding pusat data sebelum ini.

Jurucakap Facebook Melanie Roe berkata kerja pembinaan telah bermula dan apabila beroperasi pusat tersebut akan juga menempatkan staf memasak, jurutera, staf keselamatan dan juruteknik.

Naib presiden infrastruktur Facebook Rachel Petersen berkata platform media sosial itu memilih Mesa untuk lokasi pusat data terbaharunya kerana mendapat sokongan padu daripada pihak berkuasa tempatan, selain kemudahan infrastruktur dan peluang untuk memanfaatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Walaupun kaedah penjimatan penggunaan air akan digunakan, namun jumlah air yang diperlukan masih menjadi keutamaan memandangkan Arizona sering kali mengalami musim kemarau.

Facebook juga telah melabur bagi membangunkan tiga projek di Arizona yang akan menambahkan lebih 200 juta gelen air setahun ke Sungai Colorado dan kawasan Salt River.

Berita tentang inisiatif Facebook itu menyusul setelah beberapa syarikat teknologi besar lain, termasuk Apple, Google dan Edgecore memilih kawasan yang sama bagi membangunkan pusat data masing-masing.

-BebasNews

Leave a Reply