Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang wanita ditahan selepas menawarkan rasuah RM21,000 kepada polis dengan harapan dapat membebaskan rakannya yang disyaki menjadi “tokan” dadah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku susulan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan di satu kawasan perumahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur petang semalam di kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah.

Ketika ditahan, suspek yang positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan sama ditemui bersama 13 peket dipercayai mengandungi 168g methamphetamine dan 2g heroin.

Polis kemudian menahannya untuk reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Susulan itu kata Beh, seorang wanita berusia 22 tahun datang ke balai untuk cuba membebaskan rakannya pada 12.30 tengah malam.

“Wanita itu menawarkan wang tunai berjumlah RM21,000 sebagai sogokan untuk membebaskan rakannya. Suspek diberi amaran supaya berhenti daripada meneruskan niat dan tindakannya, namun tidak diendahkan,” katanya.

Akibatnya, wanita itu telah ditahan manakala wang ditawarkannya turut dirampas.

“Saya bangga dengan anggota saya yang menunjukkan contoh baik menolak rasuah itu.

“Saya berharap ini akan meningkatkan keyakinan awam terhadap integriti pasukan polis,” katanya.

Katanya, wanita itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/13/silap-langkah-rasuah-polis-rm21000-bebas-rakan-ditahan-edar-dadah/

Leave a Reply