SATU Malaysia sedang memperkatakan esok, Isnin (16 Ogos), Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan.

Nampaknya semua pihak mahu beliau meletakkan jawatan. Saya difahamkan beliau juga mahu meletakkan jawatan kerana sudah kehilangan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen, terutamanya UMNO. Difahamkan 12 orang Ahli Parlimen UMNO sudah berpatah arang.

Jika sebelum ini, para pemerhati menjangkakan beliau sudah mempunyai majoriti sekitar 115 kerusi dan boleh meningkat kepada melepasi 120 kerusi, namun dengan tindakan ahli-ahli Parlimen UMNO itu, kedudukan Muhyiddin kini di bawah 100 kerusi.

Bagaimanapun, kedudukan itu kini di dalam tangan Yang di-Pertuan Agong selaku kuasa mutlak pemutus kedudukan hayat kerajaan ini, mahu pun nasib Muhyiddin.

Mari kita lihat, apa agaknya kebarangkalian dan kemungkinan kepada pilihan-pilihan atau options yang masih ada dan yang akan berlaku?

1. Muhyiddin akan bercuti (garden leave) –kemungkinan beliau akan bercuti terus (alasan yang boleh diberi: atas faktor kesihatannya) sehingga tamat tempoh kerajaan; dan jawatan PM akan dipangku oleh timbalannya, Ismail Sabri Yaakob.

2. Muhyiddin akan meminta Duli Yang Maha Mulia membubarkan Parlimen dan membenarkan pilihan raya ke-15 diadakan dalam tempoh 60 hari — sesuatu yang kita yakin tidak akan berlaku dalam suasana keganasan varian Delta Covid sekarang ini.

3. Muhyiddin meletak jawatan — dan akan berlaku “free for all” untuk semua pihak bagi menghadap Tuanku menyatakan nombor yang mereka ada, dan sekali gus membentuk kerajaan.

Adakah ketiga-tiga options atau pilihan ini boleh dipakai? Sudah tentu boleh.

Sekiranya option pertama diambil kira bagi mengelakkan kekecohan yang akan berlaku, maka Tuanku masih mempunyai pilihan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 40 (3) iaitu Tuanku boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika pilihan ini diambil kira apa situasi seterusnya akan berlaku? Tuanku masih boleh terus melantik Ismail Sabri, misalnya di bawah kepercayaan Tuanku bahawa kerajaan yang ada ini masih mempunyai majoriti untuk memerintah, dengan syarat;

Kerajaan semasa itu wajib membawa usul percaya kepada kerajaan itu di Dewan Rakyat dalam tempoh 60 hari.

Ini bermakna kerajaan itu masih mempunyai tempoh dua bulan untuk memastikan ia mempunyai majoriti yang mencukupi untuk mengekalkan kerajaannya.

[Kesilapan Muhyiddin ialah beliau tidak mengadakan undi percaya kepada beliau sebelum ini, walaupun beliau mendakwa mempunyai cukup majoriti.]

Walaupun option ini akan memperlihatkan “campur tangan” Tuanku bagi memberi talian hayat kepada kerajaan berkenaan, namun itulah kuasa yang Tuanku ada yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, jom kita tengok apa akan terjadi esok. Kita mahu tengok apa percaturan politik Muhyiddin, dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memilih option yang ada.

Semoga Allah memelihara tanah air ini.

— BebasNews

Leave a Reply