Humaniti Malaysia masuk ke kampung-kampung di pedalaman Myanmar untuk mengedarkan bantuan perubatan dan bungkusan beras kepada etnik Rohingya. (Gambar Ahmad Tarmizi Mukhtar)

SHAH ALAM – Tahun lalu, Kempen Kemanusiaan Sedunia (WHD) yang terkenal di peringkat antarabangsa menilai 1600 pekerja sosial dari seluruh dunia untuk menerima Anugerah Kemanusiaan Global yang berprestij dan daripada kumpulan itu hanya 100 bakal diiktiraf.

Tokoh ternama seperti Dalai Lama dan Nelson Mandela pernah diiktiraf NGO (organisasi bukan kerajaan) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) ini dan kini rakyat Malaysia turut berbangga kerana tujuh anak jati negara ini turut menyertai legenda tersebut.

“Jika seseorang meminta pertolongan, anggaplah ia sebagai satu kelebihan. Tiada siapa yang suka-suka meminta pertolongan, tanpa alasan,” kata salah seorang penerima anugerah Kemanusiaan Global ketika bercakap kepada FMT.

Anak kelahiran Terengganu, Ahmad Tarmizi Mukhtar, 45 membuat rakyat Malaysia bangga apabila diiktiraf di atas kecemerlangannya dalam kerja sosial kerana masuk ke pedalaman Bangladesh dan menyelamatkan ribuan Rohingya yang terkandas.

Dari membina hospital di kem pelarian yang dikawal tentera bersenjata, berkempen untuk hak mereka, malah menghalang sekolah dari dirobohkan – Tarmizi telah menyelamatkan ribuan nyawa.

Sempena memperingati Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos, FMT bercakap dengan Tarmizi mengenai usahanya yang tidak bernoktah demi membantu insan lain, ketika berkongsi kisahnya dari seorang akauntan kepada pekerja kemanusiaan selama sembilan tahun. Pengalaman yang benar-benar mengubah hidupnya.

Sejak Humaniti Malaysia ditubuhkan pada tahun 2014, Tarmizi telah menjadi Setiausaha Agung pertubuhan tersebut dan bekerjasama rapat dengan presidennya Syed Hamid Albar, bekas Menteri Luar Negara Malaysia.

Oleh kerana Hamid dilantik oleh Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dari Arab Saudi, Humaniti Malaysia mempunyai hubungan baik dengan agensi risikan di seluruh dunia termasuk Bangladesh dan Myanmar.

Tarmizi (kanan) bersama kanak-kanak Rohingya

Ketika Myanmar dilanda kekacauan dan mula membunuh etnik Rohingya pada tahun 2017, Humaniti Malaysia segera bertindak dan diberi peluang untuk memasuki Cox’s Bazar ketika tindakan penghapusan etnik Rohingya (genocide) sedang memuncak.

“Tidak banyak NGO dari Malaysia yang dapat masuk ke kem pelarian,” kata Tarmizi, sambil menjelaskan kem-kem tersebut dikawal ketat oleh tentera.

“Ketika tentera menyerang Rakhine, mereka membakar semua kampung dan rumah, memaksa penduduk melarikan diri ke sempadan,” katanya, sambil menambah berjuta-juta rakyat melarikan diri ke sempadan Bangladesh untuk mencari perlindungan di Cox’s Bazar.

“Selama dua minggu saya berada di sana bersama Putera Mahkota Perlis dan kami membina enam pusat umum untuk digunakan masyarakat bagi tujuan solat dan aktiviti lain.

“Kami turut mengedarkan tiga lori makanan dan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada peralatan perubatan dan barang keperluan seperti beras, gula dan minyak masak,” katanya.

Selain menyelamatkan banyak nyawa, Tarmizi turut menyaksikan pemandangan yang cukup meremukkan hati dan terus menghantui dirinya hingga ke hari ini.

“Kami lihat dengan mata kepala kami sendiri, pesakit terbaring di lantai dan koridor kerana tidak cukup katil di hospital,” kata Tarmizi sambil mendedahkan bau busuk di dalam kem itu sudah cukup untuk membuat seseorang sakit kepala memandangkan ia dibanjiri lebih 1.2 juta pelarian.

“Seorang kanak-kanak baru berusia 12 tahun ditembak dan peluru masih di kakinya, tapi dia perlu menunggu tujuh hari untuk menjalani pembedahan,” keluh Tarmizi.

Secara kebetulan, Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut serta dalam lawatan itu dan Tarmizi yang menyaksikan suasana memilukan di sekelilingnya itu tiba-tiba terdorong untuk bersuara.

Bersama Putera Mahkota Perlis, duo ini mendekati Timbalan Perdana Menteri dan berjaya meyakinkan kerajaan untuk membina tiga hospital di Cox’s Bazar dan sekaligus mencegah lebih banyak lagi nyawa dari terkorban.

Tugas Tarmizi tidak berakhir setelah pulang ke tanah air, malah dia terus memperhebatkan kempen untuk etnik Rohingya di Malaysia, menyebarkan rayuan mereka kepada pemimpin yang paling berkuasa di dunia.

“Pada tahun 2016, kami menyusun kertas kerja dan menghadiri perhimpunan PBB di New York serta berjaya mengubah persepsi pemimpin dunia,” kata Tarmizi.

“Sejak itu, media di rantau ASEAN sendiri mula memfokus lebih banyak perhatian terhadap Myanmar,” katanya, sambil menambah, Amerika Syarikat (AS) turut menggesa Myanmar untuk menghentikan diskriminasi terhadap Rohingya.

Di Malaysia sendiri, Humaniti Malaysia membina sekolah pelarian di seluruh negara untuk beratus-ratus anak yatim yang kehilangan ibu bapa mereka akibat pembunuhan beramai-ramai.

Beberapa tahun kemudian, akibat kerja-kerja pembangunan, salah sebuah sekolah di Sri Kembangan diancam kemungkinan akan dirobohkan.

“Kerajaan Negeri Selangor sedang membersihkan tanah berhampiran Seri Kembangan untuk dijadikan loji rawatan air,” kenang Tarmizi.

 

 

“Saya pergi ke Parlimen dan memujuk mereka mengecualikan 5% tanah untuk kegunaan sekolah, minta mereka untuk tidak merobohkannya.”

Syukurlah permintaan Tarmizi dihormati. Kini, sekolah pelarian tersebut tetap berdiri teguh di Sri Kembangan, umpama sinar harapan buat 120 pelajar pelarian dan guru yang menghuninya.

Percaya atau tidak, sebelum Tarmizi menaiki trak tentera, menyelamatkan nyawa dan menaik taraf kem pelarian – lelaki yang cukup merendah diri itu menghabiskan masanya mengira nombor.

“Saya tidak pernah menjangkakannya, kerana saya seorang akauntan dan saya membaca angka, statistik serta fakta,” katanya tertawa, sambil menjelaskan dia pernah bertugas di sektor awam iaitu dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (LPTA).

“Tetapi tiba-tiba saya dipanggil oleh Ketua LPTA kerana dia memerlukan pertolongan saya.”

Dalam masa dua minggu, Tarmizi berangkat ke Bangladesh dan hidupnya berubah buat selama-lamanya.

“Diberi peluang untuk membantu orang lain adalah hak istimewa dan saya tidak melihatnya sebagai satu cabaran atau masalah.

“Saya sangat gembira kerana mempunyai keistimewaan kecil ini untuk membantu dan saya akan melakukannya bila-bila masa, di mana sahaja kerana ia mungkin tidak banyak bagi kita, namun tindakan berasaskan kasih sayang itu penting.

“Anda tidak akan tahu sama ada esok anda masih hidup, jadi jika anda mempunyai peluang hari ini, lakukan saja,” akhiri Tarmizi.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/top-bm/2021/08/19/akauntan-pejuang-nasib-rohingya-diangkat-wira-kemanusiaan-global/

Leave a Reply