Oleh Dato Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob, S.P.S.K., P.A.T.
FRCPath, FDSRCS, Dip Pengajian Islam( UIAM )

ADA buku baharu puisi bertajuk “Getam Guri Bunga Matahari” karangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri tersohor, YB Major (B) Anizan Ab Rahman, yang memakai nama pena M. Nizam Rahman.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob melaksanakan seuntai memuji buku ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin dan juga Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari ikut menitip tinta dan catatan.

Buku ini diterbitkan pada tahun 2021 oleh Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan.

Melihat pada nama-nama besar ini, saya berasa tersangat teruja untuk membacanya.

Buku puisi ini mengandungi kata-kata indah dan puitis, disulam pula dengan bahasa dan ungkapan daerah yang kini semakin dilupakan.

Kedapatan pula lukisan yang menarik oleh pelukis terkenal Rossem bagi mengilustrasikan sesetengah puisi.

Ini menambah kepada keistimewaan buku puisi ini.

Satu ilustrasi lukisan Rossem dalam buku puisi ini

Anizan menulis dalam sajaknya mengenai betapa pemimpin sentiasa berdepan dengan cabaran tetapi sering memikirkan penyelesaiannya:

Setiap masalah ada caranya, Walaupun penantian satu penyiksaan (ms 20), dan:

Bila berdepan dengan keresahan, Usah dibiarkan danau bicara, Minda perlu memikir, Bagaimana cara (ms 21).

Dia mengharapkan kedamaian dan kesejahteraan:

Teranglah masa mendatang, Keperluan cahaya, Kepada semua orang dan alam (ms 30).

Untuk menyelesaikan apa pun kebuntuan, manusia mesti berilmu. Maka dia menulis:

Bila cahaya matahari pagi menjelang,
Aku berkejaran,
Mencari ilmu yang tak kunjung padam (ms 31).

Dia tidak akan berputus asa dalam perjuangannya:

Antara debu dan batu,
Habuk halus menghalang pandangan,
Jalan berliku yang kutempuh,
Pasti ada sinar di hujung sana (ms 34).

Orang tidak boleh berkata Anizan tidak peka kepada kebajikan manusia dan juga alam semesta, kerana dia tidak begitu. Lihat saja pada bait-bait puisinya ini:

Mungkinkah satu hari nanti,
Tebing sungai menjadi mangsa(ms 39).

Pun mengenai sungai Anizan menulis:

Dahulu
Airnya bersih mengalir tenang.
Sungai indah penuh khazanah alam…
Kini mengalir penuh kepedihan.
Dicemari sejuta bermacam kotoran.
Tercungap oleh kemusnahan (ms 41).

Sebagai pemimpin dia prihatin kepada sifat. Lihat pada pegangannya ini:

Apa erti hidup ini, kalau amanah dikhianati, jika janji tidak ditepati, jika hati penuh hasad dan dengki (ms 58).

Berpandukan tulisannya yang tidak suka kepada orang yang lupakan diri, kita harapkan Anizan sentiasa ingat kepada kata-katanya ini:

Sekelip mata,
Bila berkuasa terus berlainan rasa.
Tiada lagi susuk tubuh yang dikenali.
Semuanya mengikut rasa hati.

Dalam kehidupan, saya mengesan kasih sayang yang bersemi antara Anizan dengan isterinya, yang juga bijak menulis:

Kita bukan milik sendiri,
Bukan jua hanya untuk famili
tapi kita milik semua.
Masa kita, harta kita tenaga kita, bukan hak kita sendiri…

Itulah dulu yang dapat saya gambarkan mengenai Anizan sebagai pemimpin.

— BebasNews

Leave a Reply