GAMBAR: Governor Tom Wolf, CC BY 2.0 , via Wikimedia Commons.

Oleh Fetty Rara

JEPUN menggantung penggunaan kira-kira 1.63 juta dos vaksin Moderna pada Khamis 26 Ogos) berikutan pencemaran yang dikesan pada botol yang belum digunakan.

Kejadian itu kini mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku kekurangan bekalan ketika negara itu bergelut untuk meningkat kadar vaksinasi berikutan lonjakan kes Covid-19, lapor abcNEWS.

Kementerian Kesihatan Jepun berkata pencemaran dilaporkan di beberapa pusat vaksinasi, dan sesetengah dos mungkin telah disuntik kepada penerima.

Setakat ini belum ada aduan tentang reaksi negatif berikutan perkara tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga Takeda Pharmaceutical Co. yang dipertanggungjawab mengendali penjualan dan pengagihan vaksin di Jepun berkata semua penggunaan vaksin Moderna digantung buat sementara.

Syarikat itu juga segera menjalankan siasatan dan mengarahkan semua pihak berkenaan supaya menghentikan penggunaan stok vaksin Moderna yang dikeluarkan di Sepanyol.

Kementerian kesihatan Jepun dan pihak Takeda belum mengeluarkan butiran berhubung pencemaran tersebut atau sama ada stok berkenaan telah diagihkan ke negara lain.

Masalah berkaitan vaksin Moderna ini menyulitkan lagi keadaan di Jepun di mana lonjakan kes jangkitan Covid-19 amat membebankan sistem kesihatan negara itu.

-BebasNews

Leave a Reply