GAMBAR: Wikimedia Commons.

Oleh Fetty Rara

SEKATAN pergerakan kini memberi kesan kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, Kota Baharu hingga stok darah merosot.

Oleh itu, pihak hospital meminta orang ramai supaya tampil menderma darah bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurut Pengarah Hospital USM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, kebimbangan orang ramai, termasuk penderma darah tentang keselamatan sewaktu proses menderma darah, selain pembatalan penganjuran kempen derma darah turut menyumbang kepada keadaan ini.

Beliau berkata sekiranya keadaan ini berterusan ia boleh menjejaskan proses rawatan pesakit.

“Bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit, pelbagai inisiatif telah dilakukan Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital USM bagi menarik penderma darah tampil menderma mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti menderma darah kerana ia dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan selaras dengan garis panduan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk keselamatan, Dr Ahmad Sukari berkata saringan awal dilakukan ke atas penderma yang tidak mempunyai gejala atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari.

Beliau berkata petugas kesihatan akan memastikan pematuhan semua SOP, termasuk keperluan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengisi borang pengisytiharan risiko COVID-19 Kampus Kesihatan serta mencuci tangan menggunakan pensanitasi sewaktu berada di lokasi.

UPT Hospital USM beroperasi setiap hari daripada pukul 8 pagi hingga 5 petang, dan tempat khas untuk meletak kereta juga disediakan bagi penderma.

— BebasNews

Leave a Reply