Oleh Kept Dato Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob (B),
Datin Prof Dr Sri Nurestri Abd.Malek (B),
Prof Dr Zamri Radzi

SULTAN Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menzahirkan titah kepada Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 25 Ogos 2021, mengingati akan fungsi Dewan itu di samping menjadi tempat di mana suara rakyat boleh diketengahkan.

Tuanku Sultan menitahkan supaya kerajaan merintis jalan untuk meminimumkan perselisihan politik, mengutamakan kepentingan rakyat, kemakmuran ekonomi, pembangunan negeri dan kesejahteraan sosial.

Tuanku Sultan mengharapkan akan terbentuk semangat politik yang saling menghormati dan saling membantu demi untuk membina kesejahteraan rakyat dan negeri.

Baginda ingin melihat pemupukan perpaduan dan semangat kewarganegaraan rakyat yang berbilang etnik, agama dan budaya.

Tuanku Sultan sangat prihatin dan bersimpati dengan rakyat yang dilanda Covid dan menasihati mereka supaya menjaga diri sebaiknya berpandukan Firman Allah Taala (Al-Baqarah, 2 :195) dan berpandukan nasihat daripada hamba-hambaNya yang berwajib dan berilmu.

Baginda mempunyai penguasaan pengetahuan tentang pandemik Covid dari segi epidemiologi, transmisi, pencegahan, daya tahan dan lawan vaksinasi.

Apresiasi Baginda terhadap barisan hadapan yang berkorban tenaga, waktu dan keselamatan diri dan keluarga masing-masing dalam menunaikan fardu kifayah demi rakyat.

Baginda mendoakan agar Allah Subhanahu Wataala Menganugerahkan mereka ganjaran sebesar-besarnya.

Tuanku Sultan menzahirkan betapa kemunculan Covid-19 telah melemahkan kehidupan global dalam berbagai bidang: Kematian yang semakin meningkat; ekonomi yang menyusut; masalah dalam persekolahan; pelancongan dan industri berkaitan dan; kebimbangan tentang kecukupan provisi makanan.

Walau begitu, rakyat akan berasa lega kerana Tuanku Sultan telah menzahirkan bahawa kerajaan Baginda telah berusaha menangani wabak ini sebaik yang boleh: Projek pembangunan yang penting dapat berjalan terus; Pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan; Kebajikan dan kesihatan; Bantuan kepada Penjaja, peniaga kecil dan usahawan.

Kerajaan Persekutuan telah menyumbang dana untuk perbelanjaan operasi barisan hadapan; MAIPk membantu rumah anak yatim dan orang tua, warga emas, pusat gelandangan, kecemasan, pelajar, barisan hadapan dan peralatan kesihatan dan perubatan.

Kami berasa amat sukacita mendengar pertubuhan NGO juga giat membantu.

Sebanyak 254 NGO menyumbang derma membantu Kerajaan dan rakyat Perak.

Golongan belia juga aktif berkhidmat sebagai sukarelawan.

Tuanku Sultan amat mengambil berat tentang pemeliharaan alam sekitar supaya penerokaan ke atasnya tidak akan mendatangkan bermacam musibah.

Baginda mahu melihat perlombongan tidak disalahgunakan, sungai kekal bersih, hutan terpelihara dan suasana alam yang sihat demi kelangsungan hayat flora dan fauna yang selanjutnya akan menyejahterakan kehidupan manusia sendiri.

Sesungguhnya kami amat yakin bahawa Tuanku Sultan sentiasa peka kepada semua aspek Wasiat Raja-Raja Melayu.

Pasti rakyat bergembira mendengar Baginda berhasrat untuk melihat kerajaan menaikkan Tanah Rizab Melayu Negeri Perak ke 50 peratus, selaras dengan Wasiat tersebut.

Dirgahayu Tuanku Sultan. Semoga Allah Subhanahu Wataala melindungi dan menunjukkan jalan.

— BebasNews

Leave a Reply