Foto FB JKJAV

TARIKH 31 Ogos 1957 adalah angka keramat bagi negara Malaysia yang merdeka. Perisytiharan kemerdekaan tanah air oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah membawa sinar baru kepada kehidupan seluruh Tanah Melayu.

Kehidupan yang sebelum itu diselubungi kekangan penjajahan berubah kepada kehidupan yang bebas daripada segala cengkaman dan telunjuk bangsa asing. Namun, adakah sebenarnya kita telah memerdekakan diri kita dengan makna yang sebenarnya?

Setiap orang ada persepsi dan pandangan masing-masing terhadap makna sebenar kemerdekaan. Setiap orang juga melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam menghayati makna kemerdekaan.

Namun, secara amnya maksud kemerdekaan menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) ialah memberi maksud bebas (daripada penjajah, kurungan, naungan dan lain-lain), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri dan tidak bergantung pada orang lain.

Adapun dalam konteks negara Malaysia, konsep kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk dalam sesebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar.

Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Penghayatan erti kemerdekaan akan berbeza berdasarkan setakat mana seseorang itu memahami atau menghayati makna merdeka. Seorang anak mungkin rasa merdeka apabila lepas daripada konkongan ibu bapa.

Manakala seorang calon peperiksaan akan merasa merdeka apabila tamatnya peperiksaan. Seseorang yang tertakluk kepada peraturan tertentu akan rasa merdeka apabila dia telah dilepaskan daripada peraturan tersebut.

Dalam situasi yang kita sedang hadapi sekarang ini, mungkin ada yang merasa terkongkong dan terbelenggu dengan peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang berjalan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada yang beranggapan bahawa apabila tamatnya PKP ini seolah-olah mereka telah ‘merdeka’. Apatah lagi mereka yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Semestinya setiap orang tidak sabar menunggu untuk ‘merdeka’ daripada peraturan yang ketat ini.

Walaubagaimanapun, bukan itu sahaja yang dimaksudkan dengan kalimah merdeka. Bahkan, sebenarnya makna merdeka adalah lebih luas daripada apa yang disebutkan di atas.

Dalam perspektif agama Islam, merdeka yang utama ialah apabila manusia lepas dan selamat daripada perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Malah, menjadi tugas utama para Rasul ialah memerdekan manusia daripada menyembah kepada selain daripada Allah (syirik).

Berkaitan perkara ini Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.

Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”. [Surah al-Nahl, ayat 36]

Kemerdekaan negara yang kita nikmati sekarang ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir sejak dahulu sehingga kini, maka kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Banyak sejarah membuktikan pembukaan Islam ke serata pelusuk tanah Arab dan ‘ajam (bukan Arab) akhirnya menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman.

Sebagai contoh, bagaimana Salahuddin al-Ayyubi buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam. Begitu juga, ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

Satu perkara yang sangat penting untuk kita fahami dalam memaknai kemerdekaan yang sebenar ialah memerdekakan diri daripada segala sifat mazmumah (yang buruk).

Terutamanya, apabila kita berada dalam dunia tanpa sempadan yang membolehkan kita melakukan apa sahaja dengan bebas. Maka, banyaklah berlaku salahguna teknologi sama ada melalui perkataan (audio dan visual) juga tindakan yang tidak bermoral. Hendaklah kita pastikan penggunaan media sosial dengan berhemah dan mengikut lunas-lunas Islam yang mulia.

Merdeka juga bermakna kita berjaya mengawal diri daripada segala sifat-sifat terkeji. Begitu juga apabila masyarakat kita sudah rasional (berupaya mengawal diri) dan memakmurkan negara dengan amalan terpuji. Seterusnya, berusaha menegakkan syiar agama Islam seperti mendirikan Solat, menunaikan zakat dan berusaha berdakwah (mengajak) seluruh manusia supaya kembali kepada Allah.

Allah SWT berfirman: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. [Surah al-Hajj, ayat 41]

 

Leave a Reply