KUALA LUMPUR – Harga siling jualan runcit bagi satu kit ujian kendiri ‘rapid antigen’ Covid-19 ditetapkan berharga pada RM19.90 mulai Ahad ini (5 September) manakala harga borong pula sebanyak RM16 setiap satu.

Pada masa ini harga pasaran kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga antara RM28 hingga RM41 setiap satu.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambilkira kos kehidupan dan keperluan mengurus pandemik yang semakin mencabar.

Kenyataan itu berkata, harga siling yang ditetapkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak industri yang terlibat, tersebut adalah munasabah dan harga dijangka menjadi lebih stabil seperti mana berlaku kepada pelitup muka.

Kegagalan mematuhi harga siling boleh menyebabkan penjual dikenakan kompoun maksima sebanyak RM50,000 atau RM250,000, masing-masing bagi individu dan syarikat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jika didapati bersalah mahkamah boleh mengenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu manakala syarikat pula dikenakan denda sebanyak RM500,000.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, pesalah berdepan dengan denda sebanyak RM1 juta.

– BebasNews

Leave a Reply