KUALA LUMPUR – Hasil penyelidikan terkini daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti UCSI mendapati cendawan susu harimau (TMM) dapat membantu memperkuatkan sistem pernafasan manusia.

Penolong Profesor School of Healthy Aging, Medical Aesthetics and Regenerative Medicine, Dr Tan Chung Keat berkata, penyelidikan yang dijalankan dengan Nexus Wise Sdn Bhd itu merupakan ujian pertama kali dijalankan ke atas manusia.

“Ujian ini merupakan yang pertama kali dijalankan ke atas manusia di dunia berbanding sebelum ini hanya ujian-ujian makmal dijalankan oleh beberapa pihak.

“Penyelidikan ini untuk menentukan kesan cendawan susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerus sebagai penambahan kepada kesihatan pernafasan. Kajian label terbuka ini dijalankan ke atas 50 individu selama tiga bulan.

“Mereka mengambil TMM selama tiga bulan dan kami memantau perubahan kesihatan respirasi mereka. Kami dapati pengambilan TMM dalam tempoh tiga bulan itu sudah cukup untuk meningkatkan imuniti badan dan keupayaan antioksida sistem pernafasan mereka,” katanya.

 

Dr Tan Chung Keat

Beliau yang kepakarannya dalam bidang fitokimia iaitu cabang kimia yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan itu berkata, penemuan penyelidikan kali ini juga mendapati TMM turut boleh membantu meningkatkan fungsi paru-paru dan mengurangkan simptom respirasi seperti sinus, hidung tersumbat, hidung berair, batuk dan sesak nafas.

Tambahnya, dalam keadaan dunia berdepan koronavirus yang menyerang sistem pernafasan manusia, makanan tambahan seperti TMM sudah pasti dapat membantu menyediakan perlindungan lebih kepada tubuh badan.

“Kajian ini untuk membantu komuniti memahami lebih lanjut bagaimana TMM berfungsi dan keberkesanannya dalam imuniti respirasi serta menghilangkan kerisauan terhadap kesan sampingan pengambilan TMM di mana tiada kesan sampingan dikesan sepanjang kajian dijalankan kami atau kajian-kajian sebelum ini.

“Dalam kajian-kajian sebelum ini di Amerika Syarikat, Singapura dan Perancis telah menunjukkan bahawa imuniti dirangsang, terutama peningkatan penghasilan antibodi khas dipanggil imunoglobulin A dalam sistem respirasi secara signifikan boleh mengurangkan risiko jangkitan coronavirus dan kajian kami menunjukkan TMM boleh secara signfikan meningkatkan penghasilan antibodi tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, agen antiinflamasi yagn terdapat pada TMM juga berpotensi berguna untuk merawat penyakit respirasi kronik seperti sinus dan asma.

Menurutnya lagi, TMM ini telah lama digunakan di Asia Tenggara sebagai tonik kesihatan oleh masyarakat orang asli selain sebahagian kawasan di China dan Austalia yang menggunakannya untuk merawat batuk, asma, bronkitis, sakit sendi, demam, keracunan makanan, luka, penghadaman dan gastrik.

“Walaupun TMM ini telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan tapi masih ramai yang tidak tahu bagaimana sebenarnya ia berfungsi sebab itu kami memilih untuk menjalankan kajian ini.

“Supaya dapat memahami mekanisma di sebalik rawatan, keselamatan pengambilan serta mengesahkan hasil ujian makmal sebelum ini,” katanya.

Nexus Wise menjalankan penyelidikan, penelitian dan menerapkan evolusi sains untuk memastikan kelebihan serta manfaat cendawan susu harimau itu terpelihara semasa proses penghasilan suplemen.

Hasil penyelidikan ini yang bertajuk Effect of tiger milk mushroom (Lignosus rhinocerus) supplementation on respiratory health, immunity and antioxidant status: an open-label prospective study telah disiarkan Scientific Reports dan boleh dicapai oleh orang awam melalui https://www.nature.com/articles/s41598-021-91256-6

– BebasNews

Leave a Reply