DARI kiri: Saiful Apek, Azlee, Wahid, Ilya, Hamdan dan Yassin.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA bercakap tentang kumpulan lawak Senario, tidak boleh tidak nama pengarah, Aziz M. Osman akan menjadi sebutan. Sebabnya, beliau adalah pengarah yang telah menghasilkan lima daripada 10 siri filem untuk kumpulan lawak paling popular pada era 1990-an itu.

Bermula dengan trilogi “Senario The Movie” (1999), “Senario Lagi” (2000), “Lagi-Lagi Senario” (2001) kemudian “Senario XX” (2005) dan “Senario Pemburu Emas Yamashita” (2006) diikuti dengan lima filem oleh pengarah lain, Aziz melakar kejayaan tersendiri apabila “Lagi-Lagi Senario” mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM6.33juta.

Kini setelah 15 tahun ‘meninggalkan’ kumpulan lawak popular tanahair itu, Aziz akan muncul dengan buah tangan terbarunya tidak lama lagi.

“Jaga-Jaga Senariounion” siri filem komedi yang keenam arahan beliau untuk kumpulan berkenaan dijangka akan memulakan penggambaran pada November ini di sekitar Melaka atau Johor.

AZIZ M. Osman (kemeja-T putih memegang skrip) ketika mengarah filem “Leftenan Adnan.”

Filem yang menampilkan ke semua pelawak yang pernah menganggotai Senario di zaman kegemilangan mereka dengan kos RM800,000 diterbitkan oleh Botak Productions Sdn. Bhd.

Pada awal kemunculan Senario, ia dianggotai oleh Wahid, Azlee, Hamdan dan Ilya atau lebih dikenali sebagai Pak Ya. Bagaimanapun apabila berlaku ‘perpecahan seketika’ kumpulan ini disertai oleh Lan Pet Pet, Saiful Apek dan Yassin.

Melalui filem keenam Senario arahan pengarah prolifik ini, Aziz menggabungkan mereka semua dan apa yang pasti ia adalah sebuah filem komedi yang lain daripada sebelum ini.

Menyedari kumpulan Senario di awal kemunculannya pada tahun 1996, ia lebih diminati kanak-kanak dan ramai yang melabelkan lawak mereka sebagai lawak bodoh tetapi melalui filem ini, Aziz akan tampilkan kelainan buat mereka.

“Di awal kemunculan Senario, saya sedar para peminatnya terdiri daripada kanak-kanak dan lawak mereka ‘rengan’ meskipun ada yang mengklasifikasikannya sebagai lawak bodoh tetapi saya rasa ia sesuai dengan penonton mereka.

AZIZ M. OSMAN

“Tetapi dalam filem ini nanti, saya tampilkan komedi masyarakat sesuai dengan usia para peminat mereka yang semakin dewasa. Saya yakin filem ini akan diterima penonton kerana pengalaman mengajar saya untuk menghasilkan lawak yang lebih dewasa,” kata Aziz.

Menyedari ada yang meragui selepas 15 tahun ‘meninggalkan’ Senario, apakah beliau mampu mengekalkan momentumnya dalam mengarah filem komedi dan mengapa masih pilih kumpulan lawak berkenaan, Aziz menjelaskan;

“Saya sedar 15 tahun bukanlah satu jangka waktu yang pendek dan disebabkan itu mungkin ada yang meragui sentuhan saya dalam menghasilkan filem ini. Tetapi pada ruang waktu itu pengalaman mengajar saya apabila terlibat dengan drama arahan Mamat Khalid.

SATU perbincangan diadakan baru-baru ini antara pengarah, penerbit dan pelakon filem “Jaga-Jaga Senariounion.”
Mengikut putaran jam: Yassin, Illya, Aziz M. Osman, Wahid, Hamdan dan Zaidi Md. Zin.

“Bermula dengan ’16 Puasa’ diikuti ’17 Puasa, 18 Puasa Kampung Pisang dan Kampung Pisang Bersiri-Siri,’ saya didedahkan genre komedi masyarakat sentuhan Mamat Khalid. Alhamdulillah kerana ‘roh’ komedi masih ada di jiwa saya dan walaupun telah lama tidak mengarah filem untuk Senario, insya-Allah saya tidak salah langkah.

“Tiada lagi lawak bodoh! Itulah yang akan saya buang jauh-jauh persepsi masyarakat terhadap mereka kerana saya mengenali Senario sudah lama dan amat menghormati mereka. Bagi saya mereka adalah kumpulan lawak yang masih diminati walaupun usia mereka semakin bertambah tetapi komedi mereka masih relevan.”

“Jaga-Jaga Senariounion” dengan nama asalnya “Ada Lagi Senario” sepatutnya diterbitkan oleh syarikat miliknya Ace Motion Pictures Sdn. Bhd. dan memulakan penggambaran pada Mac 2020. Bagaimanapun apabila dunia dan negara dilanda pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan.

AZIZ M. Osman bersama isteri, Puteri Lily Lokman dan anak mereka, Putra Muhammad Aryan dan Puteri Nur Azzahra.

“Memang asalnya saya mahu terbitkan sendiri filem ini tetapi apabila ada penerbit yang berminat saya bersikap terbuka menerima tawaran mereka dengan syarat walaupun dalam keadaan sekarang konsepnya ‘pawagam di rumah anda’ tetapi bajetnya bukanlah seperti menerbitkan cerekarama atau telefilem.

“Saya mempunyai sebab tersendiri kenapa tidak mahu mengarah filem dengan bajet ciput kerana bagi saya mengekalkan kualiti itu penting. Di Malaysia filem ini akan ditayangkan di Astro First kerana masyarakat kita masih takut ke pawagam tetapi di Singapura dan Brunei ia akan ditayangkan di pawagam.

“Apabila penerbitnya Zaidi Md. Zin setuju kami telah pun mengadakan beberapa perbincangan dengan para pelakon utama iaitu kumpulan Senario antaranya Wahid, Hamdan, Ilya Buang dan Yassin kerana setakat ini saya belum fikirkan pelakon lain termasuklah heroinnya,” kata Aziz penuh yakin kumpulan Senario ini bagaikan pop yeh yeh yang akan meletup setelah sekian lama hilang dari radar dunia seni.

AZIZ M. Osman (kemeja-T putih memegang skrip) ketika mengarah filem “Leftenan Adnan.”

“Jaga-Jaga Senariounion” berdasarkan kisah benar Aziz pernah dirompak di depan rumahnya di Bukit Antarabangsa lebih 10 tahun lalu sekembalinya dari bank, membawa kisah Apek, seorang akauntan sebuah syarikat dirompak di kawasan tempat tinggalnya. Azlee sebagai pengawal keselamatan dipersalahkan dan disyaki terlibat dalam rompakan tersebut. Bagi menyelesaikan kes tersebut, Pak Ya sebagai pegawai polis cuba membantu dan akhirnya teori beliau bahawa kejadian itu adalah perbuatan satu sindiket yang didalangi oleh Hamdan.

Menyentuh mengenai filem arahannya “Leftenan Adnan” yang telah menjalani proses restorasi sebanyak RM300,000 terbitan syarikatnya dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Grand Brilliance Sdn. Bhd., yang ditayangkan di Awesome TV sempena Hari Malaysia malam tadi, Aziz M. Osman suami kepada Puteri Lily Lokman dan ayah kepada Puteri Nur Azzahra,10, dan Putra Muhammad Aryan, tiga tahun, berkata;

“Walaupun impian saya untuk menayangkan filem ini di pawagam sempena Bulan Kemerdekaan tahun lalu tidak kesampaian kerana Covid-19, saya tidak menyesal. Bagi saya ia adalah sumbangan saya untuk negara.

“Tahun lalu filem ini ditayangkan di Astro First dan Netflix. Walaupun bayarannya tidak setimpal saya bangga para penonton masih dapat menonton filem kewarganegaraan ini dalam kualiti yang baik.”

-BebasNews

2 COMMENTS

Leave a Reply