Mazlan Bujang (tengah) bertanya khabar kepada petugas barisan hadapan semasa meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di SMK Taman Daya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seramai 563 daripada 779 guru di negeri ini masih menolak suntikan vaksin Covid-19 meskipun penerangan tentang kebaikannya telah diberikan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, setakat ini, pihaknya tetap menggunakan pendekatan berhemah dengan meneruskan pemberian penerangan tentang perkara itu kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, majoriti guru berkenaan ialah wanita yang menyatakan alasan utama adalah faktor kesihatan kerana mereka sedang mengandung dan bimbang tentang suntikan berkenaan akan menjejaskan bayi mereka.

“Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu akan memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Guru wanita berkenaan kata lepas bersalin akan ambil suntikan vaksin dan mereka bukan anti vaksin,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini hari ini.

Pada bulan lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di Johor dilaporkan menolak untuk divaksinasi dan mereka memberi alasan membuat kuputusan tersebut kerana ragu dengan vaksin.

Susulan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mencari penyelesaian di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini pada 27 Ogos lalu.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa memberitahu, daripada jumlah 563 tersebut, kira-kira 200 guru yang enggan divaksin tanpa mempunyai masalah kesihatan.

Pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap golongan berkenaan.

Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil, iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di negeri ini.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply