Istana Raja Muda Yang Terbiar. Foto orangperak.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak menangguhkan keputusan menjual Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan bagi membolehkan perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini kerana keputusan untuk jualan secara tender terbuka itu telah diputuskan oleh kepimpinan kerajaan negeri terdahulu.
Beliau berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk dikaji semula.

“Saya akan bawa balik perkara ini dalam MMKN pada Rabu untuk kita lihat kembali walaupun saya rasa itu adalah keputusan MMKN yang dibuat tahun lalu.

“Kita akan tengok semula selepas ada beberapa bantahan serta pandangan termasuk melalui laporan akhbar yang memaklumkan ada beberapa lagi kawasan bersejarah yang perlu dipelihara,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, kawasan bangunan istana lama berusia 97 tahun yang berkeluasan dua hektar itu dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.

Kawasan yang dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak itu dikatakan mempunyai nilai tinggi untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.
Isu penjualan tersebut mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan serta dipulihara.

Istana itu dibina sekitar tahun 1922 dan ia merupakan Istana Rasmi Raja Muda Perak.
Raja Muda yang pertama bersemayam di istana itu ialah Almarhum Raja Muda Abdul Aziz yang kemudiannya menjadi Sultan Abdul Aziz, Sultan Perak yang ke-31.


Istana itu akhir sekali diduduki oleh Almarhum Raja Muda Ahmad Siffuddin.

Istana berkenaan ditinggalkan dan tidak lagi dijaga, namun masih kekal di kawasan asal.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply