PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

CITF-A dipengerusikan oleh Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1.

Pagi tadi, Khairy hadir ke program “Kick-Off” PICK Remaja yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) – SMK Putrajaya Presint 8(1).

Dalam sidang media, Khairy berkata PICK Remaja sudah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 September lepas.

“CITF telah meluluskan pelaksanaan program berkenaan di kedua-dua negeri kerana liputan imunisasi COVID-19 dalam kalangan orang dewasa di kedua-dua negeri berkenaan telah mencapai 80 peratus.

“PICK Remaja di Sabah pula telah bermula pada 16 September lepas kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar,” katanya.

Khairy berkata, KKM mensasarkan 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada bulan November ini dan 80 peratus daripada mereka yang layak divaksin mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Turut hadir pada program hari ini ialah Datuk Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Noor Azmi, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr. Nor Azmi juga memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seorang remaja yang menerima suntikannya hari ini.

Please follow and like us:

Leave a Reply