Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempersembahkan senarai nama individu yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Jumaat ini.

Senarai nama tersebut membabitkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pentadbir masjid dan penolong pendaftar nikah di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd.Shahzihan Ahmad berkata, menerusi program vaksinasi khas yang dianjurkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam hari ini, seramai 872 individu terlibat telah dipanggil bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

“Sehingga jam 11 pagi tadi, dapat dilihat jumlah kehadiran adalah seramai 146 orang dan 80 peratus daripadanya menolak untuk mengambil vaksin.

“Kita masih menunggu lagi semua individu ini hadir sehingga jam 3 petang dan selepas itu, nama mereka akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keadaan PPV tersebut hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Sultan Sharafuddin pada awal September lalu bertitah bahawa pihak yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas selepas ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, beliau dan timbalannya juga akan berbincang lanjut bagi menggunakan peruntukan kuasa yang ada ke atas pihak terlibat yang enggan mengambil suntikan tersebut.

“Semua ini kita akan teliti dari segi hak, perundangan, hukum dan lain-lain.

“Pihak terbabit juga mungkin boleh dirujuk di bawah peraturan kelakuan dan tatatertib dan semua itu akan diteliti selepas ini,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply