ABDUL Halim Kader (kanan) bersama Zolkples Embong pada satu kejohanan sepak takraw di Bangkok, Thailand beberapa tahun lalu.
Datuk Seri Zolkples Embong

DATUK Dr. Ramlan Abd. Aziz melahirkan rasa terkejut dan sedihnya dengan berita pemergian mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pada awal pagi ini.

Dalam laman Facebooknya, Ramlan yang juga bekas penyandang jawatan itu, berkata:
“Kami bergelut bersama-sama sebagai rakan sekerja yang berusaha untuk kemajuan dan kejayaan dalam sukan negara, sejak kali pertama saya bertemu dengannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan menyertai beliau di MSN pada berikutnya.

“Kami menghormati dan memegang satu sama lain dalam ukuran harga dan persahabatan yang betul, memuji dua jiwa berjalan di jalan yang mencabar untuk menebus, demi-Nya.

“Beliau telah meninggalkan legasi yang begitu besar dan teladan untuk sukan Malaysia, ketika beliau menjalani hidupnya dengan mendalam, tekun dan bertanggungjawab dalam peranan dan tanggungjawabnya.

“Saya akan merinduinya dan berdoa agar dia mendapat rahmat Yang Maha Baik dan Maha Berkuasa, menerima pengampunan dan kasih saying-Nya, tertinggi serta diterima dalam kalangan roh yang paling dirahmati dalam menjaganya.

“Salam takziah kepada keluarganya dan orang tersayang. Al-Fatihah,” kata Ramlan.

Zolkples menerajui MSN dari 25 April 2007 hingga 18 Disember 2014 dengan menggantikan Ramlan yang menyandangnya dari 24 Ogos 2005 hingga 25 April 2007.

Anak jati Dungun, Terengganu yang lahir pada 1 Mac 1959 itu meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada usia 62 tahun di kediamannya di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Pada 18 Disember 2014 juga, Zolkples dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA Malaysia 2017 (Masoc), sekretariat penganjur temasya dwitahunan Asia Tenggara ke-28 itu.

Sumber MSN memberitahu, jenazah Allahyarham dibawa untuk urusan mandi dan solat jenazah di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur selepas solat zuhur.

“Jenazah akan dibawa ke Dungun, Terengganu untuk urusan pengebumian,” katanya.

Beberapa tahun lalu Zolkples pernah menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Alam Shah, beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982.

Seterusnya Zolkples menyandang jawatan Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1982 dan Pegawai Kemajuan Sukan Bahagian Pembangunan MSN (1984).

Hasil sentuhannya termasuklah penubuhan Majlis Sukan Negeri Kelantan, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, panel Akta Pembangunan Sukan 1997, Lembaga Pengarah Sukom 98 Sdn. Bhd., Program Doha 2006 dan Program Sukan Teras.

Allahyarham turut pernah menjadi Ketua Kontinjen Sukan Asia Guangzhou 2010 yang menyaksikan pungutan sembilan pingat emas, 18 pingat perak dan 14 pingat gangsa selain Sukan Paralimpik London 2012.

Penyumbang emas Malaysia di tempat ke-10 keseluruhan di Guangzhou itu ialah boling, berbasikal, skuasy, karate dan wusyu.

Selain itu beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006.

Pada 8 Julai lalu, Zolkples dipilih sebagai Naib Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) secara menang tanpa bertanding bagi penggal 2021-2023.

Datuk Zaiton Othman

Bekas Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkata: “Kali terakhir saya berjumpa arwah pada mesyuarat perancangan strategic Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Oval Kriket Bukit Kiara, dua tahun lalu.

“Kami juga selalu berhubung melalui telefon. Saya berasa sangat sedih kerana kehilangan seorang bos yang sangat bagus, profesional dan penuh integriti.

“Dialah bos, kawan dan mentor saya. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang salih,” kata bekas jaguh heptatlon olahraga negara ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader berkata, “saya sungguh terperanjat mendapat khabar yang tidak diduga pagi ini. Satu berita yang amat sedih dan menyayat hati.

“Saya baru sahaja menghubungi beliau melalui WhatsApp, 7.05 pagi semalam dan beliau meberima dan membacanya.

“Saya nengenali beliau hampir 30 tahun sebagai seorang tokoh sukan Malaysia yang berpengalaman luas,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Menurut Halim, pemergian Zolkples sudah tentu merupakan kehilangan besar buat sukan Malaysia atas jasanya selaku pentadbir sukan termasuk pada peringkat Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Hatinya juga begitu dekat dengan sepak takraw dan ingin melihat sukan tradisional Melayu ini memasuki Sukan Olimpik akan datang. Beliau juga dianggap sahabat Astaf dan Istaf,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply