Mohd. Isnin Tawaf menunjukkan buku antologi puisi Citra Kebenaran bertemakan Rukun Negara sempena 50 tahun kelahiran rukun tersebut.

KETIKA orang lain sibuk dengan kemelut politik tanah air dan bersembang kosong, tetapi karyawan Warung Buku Johor mengambil pendekatan berbeza yang menjurus kepada pembinaan semangat patriotik negara bangsa.

Langkah berfaedah yang diambil itu ialah menerusi penerbitan sebuah buku berjudul Citra Kebenaran setebal 235 halaman berupa antologi puisi bertemakan Rukun Negara sempena Jubli Emas 50 tahun kelahiran rukun tersebu.

Buku keluaran tahun 2021 itu adalah terbitan Karyawan Ledang dengan kerjasama Warung Buku dan Komuniti Buku Karya Johor.

Antologi Citra Kebenaran memuatkan tidak kurang daripada 140 karya berupa puisi dan anekdot hasil buah tangan 90 orang penulis terkenal dan bakat baharu berbilang kaum di Malaysia itu boleh dianggap sebagai usaha yang terpuji dalam mengisi khazanah kesusasteraan nasional.

Antara nama penulis terkenal yang menghasilkan karya dalam Citra Kebenaran adalah terdiri daripada Dr. Aripin Said, A. Ghani Abdullah, Chai Loon Guan, Shapiai Muhammad Ramly, Darma Mohamad, Ehsan Jamily, Aladin Mohamad, Siso Kopratasa, Mohd Azli Lee Abdullah, Mohd Rosli Bakir, Raja Yusof Ariffin, Ijamala MN, W.B Rendra dan ramai lagi.

Buku antologi puisi ini juga sesuai dijadikan bahan bacaan tambahan pelajar terutama di peringkat sekolah menengah, apatah lagi bagi mereka yang tercari-cari puisi patriotik untuk dideklamasikan dalam acara tertentu.

Mohd. Isnin Tawaf

Pengarah Projek Penerbitan Citra Kebenaran, Mohd. Isnin Tawaf berkata, memang ada usaha untuk mengetengahkan buku antologi puisi tersebut ke sekolah menengah bermula di sekitar Tangkak, Johor.

Beliau yang juga penulis ternama itu turut menceritakan bahawa bukanlah satu kerja yang mudah untuk menerbitkan buku itu terutama ketika berhadapan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa negara mengalami pandemik Covid-19.

“Seawal April 2020 ketika kita baru sebulan menjalani PKP (pandemik Covid-19) pertama, saya mula berfikir apa kegiatan yang sesuai dengan keadaan semasa itu?”

Menurutnya, dalam tempoh PKP semua kegiatan perhimpunan tidak dibenarkan, maka secara spontan beliau mendapat ilham bahawa usaha penerbitan buku bermula dengan pengumpulan karya secara senyap-senyap adalah lebih sesuai dengan
situasi semasa.

“Saya mula terfikir bahawa pada tahun 2020 merupakan ulang tahun Jubli Emas Ke-50 Rukun Negara yang mula dilancarkan pada 31 Ogos 1970,” jelasnya.

Mohd. Isnin berkata, penerbitan antologi puisi Citra Kebenaran yang mengandungi karya bertemakan Rukun Negara itu amat bermakna terutama dalam situasi rakyat Malaysia kian melupakan lima prinsip rukun tersebut.

“Kalau dulu seawal pelancarannya, hampir seluruh warga negara menghafal dan menghayatinya (sebagai pedoman berwarga negara) serta tonggak perpaduan dalam usaha membangunkan kemajuan negara bangsa,” jelasnya.

Mohd. Isnin berkata, walaupun penerbitan buku antologi puisi itu lewat setahun daripada perancangan asal untuk meraikan 50 tahun Rukun Negara, namun ia tetap releven sebagai penghayatan dalam kalangan warga negara kepada rukun tersebut.

Lima prinsip Rukun Negara yang wajib menjadi pegangan warga negara Malaysia itu ialah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatann Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

“Dalam kebanjiran pelbagai penerbitan yang banyak mengangkat tema kemerdekaan negara, rasanya tema Rukun Negara bagi antologi puisi dan anekdot ini berada dalam kelompok yang tersendiri.

“Kumpulan karya daripada himpunan 90 orang penulis yang datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan berbilang kaum (dalam Citra Kebenaran) adalah pernyataan suara hati mereka yang berusaha ‘membaca’ Rukun Negara daripada pelbagai sudut pentafsiran,” ujarnya.

– BebasNews

Leave a Reply