GAMBAR: Aziz A. Shariff.

Oleh Zainal AS Rashid

SEBUAH hotel popular di Langkawi diarahkan tutup sementara setelah lebih 50 pekerjanya didapati positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Othman Warijo berkata jangkitan dikategorikan di bawah kluster yang dikenali sebagai Dah Teluk Nibung membabitkan kakitangan hotel.

Beliau berkata siasatan mendapati bahawa jangkitan berpunca daripada komuniti dan kemudian merebak ke hotel, lapor The Star.

Menurut Othman sejumlah 249 individu yang terdiri daripada pekerja hotel dan ahli keluarga mereka telah menjalani ujian. Seramai 59 orang didapati positif dan 192 negatif.

Tiga individu masih menunggu keputusan ujian pada waktu berita ini dilaporkan.

Beliau berkata sebagai langkah untuk mengelak berlakunya satu lagi gelombang jangkitan, pihak jabatan kesihatan negeri telah mengenal pasti dan menjalankan saringan ke atas semua kontak rapat kluster tersebut.

“Setakat ini kami dapat mengawal keadaan dan penularan lanjut virus,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 21 kakitangan sebuah hotel popular di George Town, Pulau Pinang dipercayai turut dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Dr Norlela Ariffin berkata siasatan awal mendapati mereka telah dijangkiti virus, dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan punca jangkitan.

Adalah difahamkan bahawa hotel tersebut akan diarahkan tutup sementara oleh pihak berkuasa dan kakitangan terbabit dikuarantin.

-BebasNews

Leave a Reply