Acara Berbayoh yang dilakukan oleh orang Melanau turut dimuatkan dalam jurnal seni untuk bacaan orang ramai.

Oleh Khadijah Ibrahim

DALAM usaha untuk mengekalkan seni budaya tempatan agar tidak hilang ditelan zaman, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), berusaha menghasilkan jurnal berkaitan seni budaya.

Jurnal ini merupakan hasil penulisan oleh pegawai-pegawai JKKN sendiri yang dibimbing oleh pensyarah-pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM). Penerbitan jurnal seni budaya tempatan ini boleh diakses melalui pelantar NeuCanvas JKKN mulai Disember 2021.

Penghasilan jurnal ini bertitik tolak daripada penganjuran Bengkel Penulisan Jurnal Seni Budaya 2020, yang turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM). Hingga kini, sebanyak 16 jurnal telah dihasilkan dan akan diterbitkan secara digital melalui pelantar NeuCanvas JKKN.

Sejarah tentang gendang Pahang juga diterang secara terperinci dalam penulisan jurnal seni.

Walaupun usaha yang boleh dikatakan masih setahun jagung,  penulisan artikel ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak. Artikel Pantang Larang Kaum Lelaki Melanau, Sarawak dan Kesan Ketidakpatuhan oleh Mohamad Husri Morni telah diterbitkan dalam BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences. Vol. 4 No. (2) 2021.

Manakala artikel Susur Rawai Dessit Duano dalam Seni Dangkong oleh Rahmat Damiri dan Adat Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau oleh Zurairi Hanip, masing-masing telah dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Peradaban Melayu, UPSI dan Jurnal Semarak Bahasa, IPG KL.

Lain-lain jurnal yang akan diterbitkan oleh JKKN adalah Boneka Batang Besi dalam Persembahan Opera Teochew di Pulau Pinang oleh Zahir Ahmad, Persembahan Kumpulan Gambus Seni Warisan Kampung Padang Changkat: Satu Pengenalan dan Eksplorasi Struktur Persembahan oleh Mohd. Rafi Jafranee serta Pengurusan Kostum dalam Persembahan Teater oleh Badan Bukan Kerajaan Seni Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan oleh Suhaimi Abdul Rahim.

Turut bakal diterbitkan juga adalah Perlambangan Bahasa dalam Mantera Bersandoi di Kampung Tengkek, Padang Lebar, Negeri Sembilan (Farah Damanyati Ahmad), Kemerosotan Seni Persembahan Dondang Sayang di Melaka: Satu Tinjauan Terhadap Persepsi Penggiat Seni (Norazlina Othman), Proses Atangumoh Etnik Murut Tahol di Kemabong, Tenom, Sabah (Mohd. Zanidizam Mohd. Dila), Elemen Asas dan Mesej Dalam Lirik Lagu Yang Mengiringi Tarian Tradisional Ceracap Inai di Johor (Eldawati Laung), Menora Masyarakat Siam-Kelantan dalam Cerpen Karya Eh Deng Eh Chik (Siti Rohayu Muhamad), Adat Rombak Dapur di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia (Umi Abdullah), Penghasilan Naskhah Nur Sakti: Teater Tradisional Terengganu (Azaha Othman), Demografi dan Persepsi Pengunjung di Festival Permainan Tradisional [email protected] Lumpur 2019: Satu Tinjauan (Ahmad Zaimy Mohd. Yusoff), Osman Ibrahim: Bintang Bangsawan Negeri Pahang (Sapinah Ismail) dan Jikey oleh Normila Mohd. Said.

Generasi muda mungkin tidak tahu cara membuat kuih bunga pudak.

Semua artikel ini merupakan cetusan idea dan hasil garapan penulisan pegawai-pegawai JKKN sendiri dengan bantuan Prof. Madya. Dr. Norazlina  Mohd Kiram, Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dan Dr. Jamayah Zakaria. Pada tahun ini, JKKN menyasarkan sebanyak 17 artikel jurnal akan dihasilkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,  Mesran Mohd. Yusop dalam satu kenyataan menjelaskan tenaga pembimbing dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, JKKN telah  berjaya menyediakan satu garis panduan penulisan artikel jurnal penyelidikan seni budaya yang secara asasnya menggariskan panduan penulisan artikel jurnal.

“Berbeza dengan tahun 2020 yang mengguna pakai format APA Style 6th edition, format pada kali ini menggunakan rujukan Chicago Manual of Style. Perbezaan format rujukan adalah bagi memberikan peluang kepada jabatan dan pegawai untuk meneroka kesesuaian penulisan yang menepati standard semasa.

“Garis panduan yang telah dibangunkan tersebut akan dimantapkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan penulisan jurnal jabatan. Selain itu, ia boleh dijadikan rujukan kepada penggiat dan penulis seni budaya yang berhasrat untuk turut menyumbang dalam penulisan seni budaya.

“Sejajar dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025, JKKN berhasrat untuk mengekalkan momentum penghasilan jurnal secara tetap dan berterusan bagi tempoh lima tahun sebagai usaha untuk mendapatkan sitasi jurnal tempatan daripada Pusat Sitasi Malaysia (PSM) untuk diindekskan  dalam pangkalan data MyCite.

“Perancangan jangka masa panjang pula, JKKN mensasarkan untuk menghasilkan jurnal penyelidikan seni budaya yang menepati standard penulisan jurnal antarabangsa dan diperakui sebaris standard SCOPUS/WOS/PubMed/CiteSeer dan lain-lain,” katanya.

Usaha JKKN mengumpul khazanah seni dalam satu platform amat berguna kepada orang ramai untuk menambah ilmu.

Tambah beliau, pihak JKKN menyedari bahawa proses pengiktirafan ini adalah suatu proses yang sukar namun diyakini ia boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan. Sebagai langkah awal, semua artikel jurnal akan dikompilasikan dalam satu koleksi jurnal yang boleh dicapai melalui pelantar digital JKKN iaitu laman sesawang dan NeuCanvas.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai perkara ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my.

-BebasNews

Leave a Reply