Idris Haron

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan menyatakan kesediaannya bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubungan dakwaan kes penyelewengan di Melaka.

Kedua-dua bersedia berbuat demikian dan mendakwa mempunyai bukti untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan.

Idris berkata:”Saya bersedia pada bila-bila masa, tengah malam pun saya boleh jumpa pegawai SPRM kalau mereka ingin berjumpa saya di Melaka.

“Jangan ingat saya cakap suka-suka atau cakap kosong saja fasal korek pasir laut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Media hari ini melaporkan SPRM akan bertemu Idris bagi mendapatkan butiran berhubung dakwaan kes pembolotan projek dan juga penyelewengan projek korek pasir.

Idris dan Nor Azman mendakwa mereka menarik balik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin, lalu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan royalti pasir.

“Kami buat ini bukan kerana tidak dapat projek korek pasir atau seumpamanya, kami tidak ada kepentingan peribadi.

“Sebaliknya kami tidak sanggup melihat perkara itu berleluasa hingga mengancam masa depan anak cucu kita,” katanya.

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu telah memusnahkan fail berkaitan projek mengorek pasir bagi mengelak penyelewengan dikesan pihak berkuasa. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply