Oleh Zainal AS Rashid

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 12 burung kuang dari negara jiran.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi kegiatan itu dikesan oleh sepasukan anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA yang sedang meronda di sebuah pangkalan haram dekat Tumpat pada kira-kira pukul 6.00 pagi Ahad (10 Okt).

Siasatan ke atas beberapa lelaki yang memunggah kotak dari perahu ke sebuah kereta mendapati bahawa mereka cuba menyeludup masuk burung kuang tersebut.

“Apabila anggota pasukan menghampiri kumpulan itu, mereka melarikan diri dengan perahu ke arah negara jiran.

“Pemeriksaan kereta menemukan 12 burung kuang bernilai RM12,000 yang disyaki diseludup dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad (10 Okt).

Azhari berkata burung kuang dan kereta yang dirampas dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 60(1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitian).

— BebasNews

Leave a Reply