GAMBAR: NSTP.

SAYA betul-betul hairan. Jika orang politik dituduh dengan rasuah ada saja alasan yang diberikan.

Rata-rata akan mengatakan mereka dianiaya. Peliknya mereka menuduh SPRM, selaku agensi pencegahan rasuah yang menganiaya mereka.

Mereka seolah-olah mahu menggambarkan mereka itu ‘untouchable’, dan tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan.

Terbaharu seorang Ahli Parlimen yang didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan kontrak, yang mana bapa dan adik beliau mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang menerima kontrak itu.

Ahli Parlimen itu sanggup membuat kenyataan akhbar bagi mempertahankan dirinya. Seperti biasa — seperti ahli-ahli politik lain yang dituduh dengan rasuah, mereka akan berkata — “ia bermotif politik”.

Katanya: “Pertuduhan yang baru oleh SPRM ini adalah satu rencana yang sudah dirancang lama…”

Sebagai orang awam — bukan politik — saya amat hairan dengan sikap orang-orang politik ini.

Andalah yang sepatutnya menunjukkan contoh kepada kami dan bukan sebaliknya. Janganlah bagi pelbagai alasan — yang kadang-kala tidak masuk akal.

Terimalah hakikat. Terlalu kecil sangat alasan untuk mengaitkan politik dengan kesalahan yang dilakukan.

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Jika anda tidak melakukan kesalahan itu, masakan ada pihak yang membuat pertuduhan itu.

Ingatkah di bawah undang-undang ‘whistleblower 2010’ — yang YB sendiri luluskan, dinding dan tembok pun boleh bercakap dan membuat aduan.

Dan, di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 — pihak yang membocorkan salah laku itu akan dilindungi.

Ingatlah wahai ahli-ahli politik yang mempunyai jawatan dan kedudukan — jangan ingat orang tak nampak apa yang berlaku di bawah meja. Jika anda selamat sekarang di muka bumi ini, di akhirat kelak belum tentu lagi.

Jika anda rasa tidak bersalah, lawanlah di mahkamah. Sebagai pembuat undang-undang anda sepatutnya faham mengenai undang-undang, dan menghormatinya.

Jangan lagi bagi alasan yang bukan-bukan. Berderet ahli-ahli politik Malaysia sedang bersepak terajang di dalam mahkamah sekarang bagi mempertahankan diri sendiri.

Di negara lain seperti Korea Selatan, beberapa bekas presidennya pun dipenjarakan kerana rasuah. Tiada kecoh pun. Tiada pun adu-domba politik macam negara ini.

Terbaharu pada Januari 2021, Mahkamah Tinggi Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas presiden, Park Geun-hye dalam keputusan mengenai skandal rasuahnya.

Di Malaysia, jika anda semuanya anggap pertuduhan yang dihadapi sebagai “politik ancaman dan pemangsa” — entahlah. Lawanlah dalam mahkamah.

Rakyat sedang memerhati gelagat anda semua.

Jika kena kepada orang kecil — lantaklah, tapi apabila kena dengan orang politik, ia dianggap satu penganiayaan.

Rakyat sekarang bukan tinggal di atas pokok lagi.

— BebasNews

Leave a Reply