IKLAN yang dinafikan oleh KPN.

Oleh Fetty Rara

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) pada Ahad (17 Okt) nafi menyiarkan iklan ratusan jawatan kosong guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), seperti yang tersebar melalui media sosial.

Iklan tidak benar itu dimuat naik ke akaun Facebook ‘Semakan dan Permohonan Online’ menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan gambar Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Menurut KPN dalam kenyataan pada Ahad, walaupun KEMAS bukan di bawah KPN, namun gambar dan nama Menteri Perpaduan Negara digunakan.

Iklan itu mencetuskan kekeliruan kerana menyatakan syarat kelayakan jawatan terlalu rendah, iaitu minimum lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

KPN berkata iklan sebenar telah disiarkan pada 11 Okt lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

Keperluan kelayakan ialah sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.

Menurut KPN, iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang jelas menyatakan syarat-syarat yang perlu, iaitu lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

— BebasNews

Leave a Reply