SHAH ALAM – Nabi Muhammad SAW sejak remaja begitu dikenali dengan integritinya dengan julukan ‘Al-Amin’ yang akhirnya baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dengan pengalaman mengembala kambing sejak kecil, serta semangat aktivisme seorang anak muda sehinggalah zaman keusahawanan baginda berniaga di Syam ternyata warna-warni kehidupan baginda menyediakan baginda untuk tugas lebih utama.

“Tugas tersebut adalah menyampaikan kalimah Tauhid beserta melengkapkan keperibadian umat manusia sekali gus hamba kepada Allah SWT.

“Berkat usaha baginda menyampaikan dakwah dengan jerih payah selama 23 tahun, akhirnya agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia melampaui Kota Mekah dan Madinah Al-Munawwarah,”katanya dalam Perutusan Maulidur Rasul 1443 Hijrah di entri Facebooknya malam ini.

Beliau berkata, misi kerasulan baginda ternyata berbeza, kerana baginda tidak diutuskan sekadar untuk kaum Arab, tetapi kerahmatan yang baginda bawa dirasakan getarannya seluruh alam.

Katanya lagi,tidak perlu dinyatakan di sini betapa besarnya pengaruh dan sumbangan agama Islam yang dibawa baginda kepada tamadun dunia sungguh besar.

“Selain Tauhid dan Akhlak, agama Islam memberi kesan yang besar dalam segenap aspek sama ada dari segi pemikiran, sains dan teknologi mahupun seni dan kesusasteraan.

“Semuanya mustahil berlaku tanpa pengorbanan baginda.Marilah kita sama-sama berselawat ke atas Junjungan Besar kita,”katanya.- BebasNews

Leave a Reply