Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberi peringatan kepada golongan antivaksin supaya mendapatkan vaksin sebelum mereka atau orang yang tersayang menjadi mangsa Covid-19 seterusnya.

Menurut Presiden MMA, Dr.Koh Kar Chai dalam kenyataannya di sini berkata, sebagai doktor, anggota MMA telah melihat pesakit antivaksin berubah fikiran mengenai vaksin selepas ahli keluarga atau mereka sendiri dijangkiti wabak itu.

“Seringkali kita melihat bahawa ketika seorang ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19, (barulah) secara tiba-tiba, vaksin dianggap penting bagi anggota keluarga tersebut yang masih hidup.

“Nasihat kami kepada golongan antivaksin adalah pergilah mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Kar Chai mengingatkan walaupun kes Covid-19 berkurangan dengan ketara, masih ada pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk Kategori Tiga, Empat dan Lima dan sebahagian besar adalah individu yang tidak divaksinasi.

Jelasnya lagi, MMA bersetuju bahawa langkah tambahan selain prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian saringan secara kerap diperlukan untuk individu yang tidak divaksin untuk hadir bekerja.

“Walaupun ini mungkin menyusahkan mereka, ia akan melindungi mereka, orang tersayang dan rakan sekerja mereka. Tetapi perlindungan terbaik yang dapat mereka berikan adalah mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Dr.Kar Chai berkata, tempoh yang mencukupi telah diberikan untuk mendidik masyarakat terhadap manfaat vaksin dengan lebih banyak bukti yang ada, namun masih ada kurang daripada 10 peratus penduduk yang menolaknya.

– BebasNews

Leave a Reply