Oleh Arrazaq Nazri

KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan berbincang di peringkat kementerian untuk mengkaji kemungkinan mewajibkan pemohon pinjaman di bawah MEDAC mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 sebagai syarat pinjaman.

Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, setakat ini tiada syarat lengkap dua dos vaksin Covid-19 sebagai syarat pinjaman di kementeriannya.

“Secara asasnya setiap peniaga sewajarnya melindungi pelanggan yang datang ke tempat mereka berniaga dari risiko jangkitan Covid-19.

“Sudah pasti pelanggan yang datang berharap keselamatan dan kesihatan mereka dilindungi oleh peniaga. Sepatutnya mereka dan pekerja mereka sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor hari ini (19 OKtober).

Terdahulu 24 Jun lalu MEDAC menjelaskan pihaknya sedang berusaha memastikan agar pengusaha perniagaan mikro dan perniagaan tidak rasmi tersenarai sebagai penerima utama vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menterinya semasa itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebahagian besar pengusaha perniagaan ini berada di sektor perkhidmatan yang secara langsung berurusan dengan orang ramai, oleh itu mereka juga harus diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.

Mengulas mengenai jumlah peniaga di bawah MEDAC yang sudah divaksin Noh berkata, setakat ini tiada statistik berapa ramai peniaga yang telah divaksin.

“Apa yang boleh saya katakan golongan peniaga yang tidak lengkap mendapat dua dos vaksin menyusahkan diri mereka.

“Golongan ini sudah pasti sukar untuk masuk ke premis yang mensyaratkan dua dos vaksin dan ini menyusahkan diri mereka sendiri,”katanya.

-BebasNews

Leave a Reply