Hujan meteor Orionids melatari langit Malaysia lewat malam Khamis
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA – Jutaan rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan secara langsung fenomena angkasa yang unik dikenali sebagai Hujan Meteor Orionid pada lewat Khamis ini.

Menurut kenyataan akhbar Agensi Angkasa Malaysia (MySA), pemandangan tersebut dapat dilihat jelas bermula sebelah malam pada hari ini sehingga awal pagi Jumaat keesokan.

“Kemuncaknya di sekitar langit Kuala Lumpur dijangka berlaku pukul 2 pagi 22 Oktober ini dengan menggunakan perisian jenis pendidikan pencerapan angkasa, Stellarium,” katanya.

Ia merupakan fenomena alami kedua yang juga dapat dilihat secara mata kasar selepas Hujan Meteor Perseid yang kemuncaknya itu dapat disaksikan di negara ini pada 12 Ogos lalu.

Pancuran tahi bintang yang sudah dicerap manusia lebih 2,000 tahun dahulu sempena wira mitos legenda Yunani tersebut, ketika itu merekodkan 110 meteor dalam tempoh sejam

Bagaimanapun agensi berkenaan memaklumkan, untuk pancuran Orionid pula, semasa tempoh kemuncak itu dijangka antara 10 hingga 20 meteor muncul setiap jam secara purata.

Fenomena tersebut ujar MySA, kelazimannya berlaku setiap tahun dari 2 Oktober sehingga 7 November dan pernah mencatatkan pancuran 70 meteor sejam pada 21 Oktober 2007.

“Dinamakan Hujan Meteor Orionid merujuk sebagai merujuk kepada titik kemunculannya di langit dari kawasan sekumpulan bintang di angkasa yang membentuk Buruj Orion,” katanya.

Imej itu dinamakan Orion bersempena dewa pemburu mitos Greek kuno ekoran bayangan imej imaginasi dan turut disebut sebagai Belantik bagi saintis astronomi di rantau Nusantara

MySA menambah, walaupun bulan penuh mungkin akan mengganggu penampakan hujan tahi bintang berekor ini, orang ramai masih berpeluang menyaksikan fenomena tersebut.

Mereka bahkan boleh melihat terus dengan mata kasar dari lokasi yang agak gelap dan bebas daripada sebarang pencemaran cahaya seperti lampu bangunan sekiranya cuaca baik.

Hujan ini terjadi apabila bumi yang beredar mengelilingi matahari pada waktu berkenaan, akan merentasi laluan orbit komet jangka pendek 1P/Halley atau juga dikenali Komet Halley.

Komet tersebut bagaimanapun muncul setiap 75 tahun sahaja dalam sistem suria dengan kali terakhir pada 1986 lalu dan akan datang lagi hanya pada sekitar pertengahan 2061 kelak.

Tahi bintang yang terkenal ini juga mencetuskan Hujan Meteor Eta Aquariid dari 19 April sehingga 28 Mei setiap tahun dengan kemuncaknya berlaku pancuran lebat pada 5 Mei. –BebasNews

Leave a Reply