Filem Rock OO! Bakal mengembalikan nostalgia penonton

KEMBALINYA Allahyarham Mamat Khalid, 58, ke negeri abadi tak bermakna karyanya akan turut berkubur. Pengarah prolifik yang menghembuskan nafas terakhir kerana serangan jantung itu semasa hayatnya cukup sinonim dengan filem-filem genre komedi.

Allahyarham merupakan seorang pengarah filem dan penulis lakon layar yang terkenal dengan filem-filem komedi seram serta sentiasa mempunyai idea-idea unik. Kenangan yang ditinggal buat peminat dipotretkan menerusi naskhah hebat.

Selain mengetengahkan cerita komedi, setiap filem arahannya mesti terselit mesej yang disampaikan secara bersahaja bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenali manikam. Pada yang tidak berfikiran kritis pasti menganggap dialog yang dilontar oleh pelakon sekadar hiburan.

Sebagai tanda penghormatan dan kenangan, TV9 akan menayangkan enam filem arahan Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd. Khalid menerusi slot Kuasa 3 Malam bermula 26 Oktober 2021 hingga 4 November 2021.

Filem Rock lakonan Que Haidar, Khir Rahman dan ramai lagi pasti menghiburkan.

ROCK, 26 OKTOBER 2021, 9.30 MALAM
Pelakon: Hasnul Rahmat, Que Haidar, Khir Rahman, Sofi Jikan, Pekin Ibrahim

Rock mengisahkan sekumpulan remaja di era tahun 80-an yang bercita-cita mahu jadi terkenal sebagai kumpulan muzik rock. Zack, seorang pemain gitar dengan rakannya, Jijo yang mahir dalam bes, Black pula pemain dram dan Amy sebagai vokalis dalam kumpulan itu. Mereka perlu mengharungi pelbagai ujian dan rintangan demi menggapai impian itu.

ROCK OO! 29 OKTOBER 2021, 8.30 MALAM
Pelakon: Que Haidar, Khir Rahman, Sofi Jikan, Pekin Ibrahim

Rock OO! Ialah sekuel kepada filem Rock yang mengisahkan perjalanan sebuah band muzik ‘rock kapak’ yang bernama Rimba Bara yang gigih mencipta nama di persada seni tanah air. Amy Mat Piah (Que Haidar), seorang pemuda yang berpegang kepada prinsip bahawa budak kampung moden tidak akan mudah berputus asa dan berjanji akan membawa kembali ahli-ahli Rimba Bara – Jijo (Khir Rahman), Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) dan Mi Black (Azmi Black) untuk beraksi!

Antara trade mark arahan Mamat Khalid, filem tersebut past menjalani penggambaran di Perak, termasuklah Rock Bro.

ROCK BRO, 30 OKTOBER 2021, 8.30 MALAM
Pelakon: Khir Rahman, Sofi Jikan, Pekin Ibrahim, Azmi

Kumpulan band rock, Rimba Bara masih berkecimpung dalam industri muzik yang penuh dengan permainan politik dalaman. Sementara itu, Jijoe bertemu dengan Ratu Rock, Ella di studio rakaman dan terus jatuh cinta dengannya. Demi mengejar cinta Ella, Jijoe sanggup meninggalkan Rimba Rock dan menjadi seorang kontraktor supaya hidupnya lebih stabil. Keputusan Jijoe bakal mengakibatkan perpisahan band Rimba Bara dan konflik mula melanda dalam kalangan ahli kumpulan itu.

Rock 4, antara karya Mamat Khalid yang menjadi pilihan ramai.

ROCK 4: ROCKERS NEVER DIE, 2 NOVEMBER 2021, 9.30 MALAM
Pelakon: Sharwani NS, Hazama, Adam John, Bulan Terry

Ronnie James Dio ataupun juga dikenali sebagai Sharwani Aduha Mat Lahad sedarkan diri selepas koma untuk 20 tahun akibat sebuah kemalangan jalan raya. Dio terkenang masa lampau di mana dia terlibat dalam kumpulan Rimba Bara. Oleh itu, Dio membuat keputusan untuk mendirikan band baharu yang dinamakan sebagai Rimba Bara 2. Namun, Dio berhadapan dengan cabaran apabila trend muzik telah berbeza. Adakah Dio dan rakan-rakan baharunya dapat meneruskan legasi Rimba Bara dengan Rimba Bara 2?

LEBUHRAYA KE NERAKA, 3 NOVEMBER 2021, 9.30 MALAM
Pelakon: Datuk Awie, Khir Rahman, Shahz Jaszle, Pekin Ibrahim

Lebuhraya Ke Neraka ialah sebuah filem drama seram yang mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda yang sukakan motosikal berkuasa tinggi dan gemar mengembara merentas desa. Nama kumpulan mereka ialah Rentaz. Ketika dalam satu konvoi ke Betong Siam, mereka telah dibawa ke alam barzakh atau halusinasi dalam alam koma.

LANG BUANA, 4 NOVEMBER 2021. 9.30 MALAM
Pelakon: Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Saiful Apek

Ketika Gunung, Daik dan Bercabang melarikan diri daripada tuan mereka, Orang Kaya Seri Bentan, mereka terjumpa sebuah pekan bernama Lang Buana yang terletak di tepi sungai. Penduduk di situ mengalu-alukan kedatangan mereka dengan acara yang meriah sekali.

Ketika mereka bertiga hairan dengan sambutan itu, barulah mereka sedar bahwa penduduk Lang Buana telah salah anggap mereka ialah putera-putera yang ditunggu-tunggu. Malahan, mereka juga diharapkan dapat menyelamatkan Lang Buana dari serangan Sang Nira! –BebasNews

Leave a Reply