Mohd. Azmi Abdul Hamid

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysian (Salimah) bakal menganjurkan kempen nasional, ” Selamatkan Keluarga Malaysia daripada Arak dan Judi ” yang merupakan perkara yang diharamkan di sisi agama Islam.

Presiden Mapim, Mohd.Azmi Abdul Hamid berkata, kedua pihak sedang mengumpul sebanyak mungkin NGO pelbagai bidang dan pelbagai agama untuk bergabung tenaga memelihara keluarga Malaysia jauh dari gejala buruk tersebut.

“Kami yakin majoriti masyarakat di negara ini tidak kira bangsa dan agama amat prihatin terhadap akibat ketagihan dan kebergantungan kepada arak dan judi.

“Isu arak dan judi semakin mendapat perhatian masyarakat kerana impak negatifnya amat ketara dari segi kesihatan dan kestabilan institusi keluarga , produktiviti kerja , keselamatan awam, jenayah serta bebanan ekonomi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd.Azmi berkata, walaupun ada pandangan yang mendakwa mereka berhak untuk minum arak dan berjudi namun keutamaan untuk melahirkan sebuah negara yang berbudaya hidup sihat dan harmoni seharusnya menjadi agenda utama.

Katanya lagi, minum arak dan berjudi bukanlah satu hak jika ia dikaitkan dengan gejala yang menjejaskan kesihatan dan keamanan sosial.

“Rakyat Malaysia direkodkan berbelanja sekitar RM2 bilion setahun untuk minum arak dan berada di tangga ke 10 didunia dalam perhitungan populasi tertinggi minum arak,”katanya.

Mengulas mengenai judi, melalui enam lesen syarikat judi yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk Number Forecast Operators (NFO) di Malaysia, perbelanjaan judi berjumlah RM9 bilion setahun, tidak termasuk judi tidak berlesen.

Sehubungan dengan itu katanya, kedua NGO percaya, kempen tersebut akan membawa mesej yang jelas untuk menekankan perlunya kualiti kehidupan keluarga di Malaysia dipelihara yang antara keutamaannya adalah untuk mengekang gejala arak dan judi dari merosakan keharmonian keluarga.

“Isu yang didebatkan oleh golongan penyokong hak untuk minum arak dan berjudi harus ingat , Malaysia tidak perlu kedua – dua industri ini jika mahu maju.

“Kami menegaskan melahirkan generasi pemabuk dan penagih arak dan judi amat berlawanan dengan konsep kesyukuran Keluarga Malaysia,”katanya.

Mengulas lanjut,jika benar pihak kerajaan mahu keluarga yang sihat maka arak dan judi perlu dibenteras.

Beliau menambah, kempen tersebut akan mendedahkan pelbagai impak negatif arak dan judi dan ia akan menyampaikan mesej kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula dasar kepada kedua-dua industri tersebut.-BebasNews

Leave a Reply