BAGI anda yang inginkan perkhidmatan 'delivery' Roy Fadzill boleh menghubungi melalui nombor yang tertera pada gambar ini.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

KITA sememangnya memerlukan duit untuk menjalani kehidupan hari ini, tetapi duit bukanlah segala-galanya dalam memastikan kebahagiaan hidup kita.

Sebab itu jangan terkejut jika ada mereka yang bekerja berbelas tahun di dalam bilik berhawa dingin dengan gaji lima angka setiap bulan tiba-tiba meninggalkan kemewahan itu dan melakukan kerja yang tidak menjanjikan pendapatan tetap demi mencari sebuah kebahagiaan yang total yang diimpikan selama ini.

Menyedari itulah, Ahmad Fadzil Alias atau lebih dikenali, Roy Fadzill,46, yang pernah bertugas sebagai Eksekutif selama 14 tahun (1997-2011) di Petronas dan lima tahun (2011-2016) sebagai Naib Presiden di Pos Malaysia meninggalkan jawatan tersebut demi kebahagiaan dalam kehidupannya.

ROY Fadzill sanggup melepaskan jawatannya demi mencari ‘kebahagiaan’ sendiri.

“Mungkin ada yang menganggap saya mengambil satu keputusan yang tidak masuk akal tetapi saya tidak pernah menyesal kerana saya mendapat pengalaman yang amat bermakna walaupun pada usia yang lewat iaitu 41 tahun.

“Bukan itu sahaja, malah saya mendapat sebuah kehidupan yang tenang, gembira dan bahagia di samping isteri yang amat penyayang dan memahami jiwa saya dan anak tunggal kami sentiasa menyokong dan bangga dengan tugas ayahnya,” luah Roy Fadzill dalam satu pertemuan di sebuah cafe di pinggir kota hari ini.

Roy Fadzill, pelajar cemerlang Maktab Tentera Diraja dan pemegang Bachelor of Commerce dari La Trobe University, Australia pada 1997 menyertai syarikat korporat yang menjanjikan gaji lumayan tidak pernah terfikir yang beliau akan meninggalkan itu semua apalagi ketika kehidupan selesa di depan mata.

Bagaimanapun semuanya bermula apabila beliau sering terpandang para petugas di kawasan pejabat (cleaner) yang sentiasa nampak gembira dan ceria walaupun tidak berjawatan tinggi dengan gaji lumayan.

“Kegembiraan mereka telah menjentik minda saya sehingga mendorong saya untuk meneroka satu bidang berbeza yang tidak menjanjikan pendapatan tetap tetapi memberi ketenangan dan kebahagiaan pada diri kita sendiri.

ROY Fadzill dengan jenama produknya ‘Rofani Brownies & Chocolate Cookies.

“Sejak itu saya terfikir untuk melepaskan jawatan tinggi dan gaji lumayan demi mencari kebahagiaan dan damai di hati. Bagaimanapun sebelum membuat sesuatu keputusan saya berbincang dengan isteri dan alhamdulillah beliau memberi semangat dan menyokong hasrat saya.

“Bukan setakat isteri, malah ahli keluarga dan sahabat saya turut menyokong keputusan saya berhenti kerja,” cerita Roy Fadzill yang mendapat sokongan padu daripada isterinya, Amelia Mohd. Zulkifli,46, dan anak tunggal mereka, Athirah Dayana, 19, yang kini menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam.

Menurut Roy Fadzill, sebenarnya bukan mudah apabila keluar dari ‘zon selesa’ yang suatu ketika dahulu menjanjikan pendapatan tetap dan pada usia yang agak lewat baru memulakan sesuatu yang baru tetapi itulah cabaran yang harus beliau hadapi.

KELUARGA bahagia… Roy Fadzill bersama isteri tersayang, Amelia Mohd. Zulkifli dan buah hati mereka (tengah), Athirah Dayana.

“Saya akui cubaan pertama saya membuka food court dengan beberapa kawan memang mencabar yang mana setelah beberapa bulan akhirnya kami terpaksa menghentikan usaha kami itu.

“Tetapi itu bukanlah noktah dalam mencapai impian saya. Alhamdulillah…Allah anugerahkan saya kepakaran menghasilkan jenama sendiri ‘Rofani Brownies & Cookies’ yang mana setiap tempahan saya hantar sendiri dan disitulah bermula kerjaya baru saya yang mencabar tetapi menyeronokkan.

“Saya seronok menjadi ‘delivery’ apabila mendapat maklum balas daripada pelanggan tentang ‘Rofani Brownies & Cookies’ hasil air tangan saya. Bukan itu sahaja, malah pada waktu yang sama saya berlakon dan cuba ‘dropship’ iaitu salah satu cabang perniagaan internet cara mudah tanpa modal bertindak sebagai agen pemasaran.”

Bagi Roy Fadzill, bermula daripada itulah beliau tidak pernah menoleh ke belakang lagi meskipun pendapatannya tidak semewah dahulu tetapi pengalaman itu amat berharga dan memberi kepuasan buat dirinya.

Menurut beliau, apabila negara dilanda pandemik Covid-19 biarpun ramai yang mengeluh kerana tiada pekerjaan namun beliau menghadapinya dengan tenang.

ROY Fadzill bersama empat kanak-kanak yang sering mengunjungi Ekspo Perdagangan Petronas pada tahun 1999 di Islamabad, Pakistan.
Berdiri sebelah kiri: Iman dan kanak-kanak lelaki berkemeja T merah, Saif.

“Saya sedar pandemik ini menjejaskan kehidupan ramai orang namun saya sudah alami peralihan hidup yang begitu mencabar sejak lima tahun lalu apabila saya meninggalkan dunia korporat dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan melakukan perkhidmatan ‘delivery’ amat relevan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika PKP dilaksanakan memang ramai yang bekerja dari rumah dan ketika itu khidmat ‘delivery’ amat diperlukan. Alhamdulillah saya dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dalam memenuhi keperluan masyarakat hari ini,” kata Roy Fadzill.

Bagi Roy Fadzill, dalam situasi ini bukanlah beliau bersyukur apabila negara melaksanakan PKP, namun kecekapan dalam perkhidmatan delivery’ dalam memenuhi norma baharu kehidupan hari ini.

“Bayangkan ketika PKP saya bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi tanpa diduga saya turut membantu rakan-rakan ketika saya masih bertugas sebagai seorang ahli korporat.

“Apa yang membuatkan saya bangga dengan tugas ini kerana ia bukan setakat menghantar pesanan mereka malah saya bangga apabila berjumpa mereka yang suatu waktu dahulu hanya pekerja biasa kini sudah menjadi Bos,” cerita Roy Fadzill sambil tersenyum.

BERDIRI enam dari kanan: Roy Fadzill bersama rakan-rakqn Kompeni Bravo ketika Tingkatan 5, di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lumpur pada tahun 1995.

Apabila ditanya apakah cabaran dan sama ada pernah terasa malu di hatinya kerana menghantar pesanan kepada mereka yang pernah menjadi stafnya, tanpa teragak-agak Roy Fadzill menjawab;

“Kenapa saya harus malu? Saya mencari rezeki yang halal dan sebagai penghantar ada yang menganggap kami sebagai frontliner. Kami memudahkan kehidupan harian mereka yang kebanyakan tidak boleh keluar kerana terikat dengan kerja dan bimbang dengan wabak berkenaan.

“Kalau bercakap tentang cabaran itu memang ada tetapi pengalaman mengajar saya untuk sabar dan melaksanakan tugas sebaik mungkin tanpa mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP).”

Selain menjalankan tugas sebagai penghantar dan pengeluar produk Rofani, Roy Fadzill juga seorang pelakon iklan berpengalaman. Banyak iklan yang menampilkan beliau salah seorang pelakon utama antaranya iklan TNB, Maxis, Minyak Masak Alif dan Netflix.

Apabila ditanya apa relevannya berlakon iklan dan dunia korporat, Roy Fadzill yang pernah diberi tanggungjawab sebagai emcee pada ‘Persembahan Kumpulan Kebudayaan Petronas, di Dewan Filharmonik berkata;

“Saya punya sebab tersendiri mengapa melibatkan diri sebagai pelakon iklan kerana dengan cara itu saya dapat menghasilkan kerja kreatif yang mempunyai hubungan rapat dalam dunia korporat.”

KEPAKARAN Roy Fadzill membuat Rofani Brownies & Chocolate Cookies.

Menyentuh mengenai kepuasannya sebagai ‘delivery’ Roy Fadzill dengan tenang berkongsi pengalaman dan berkata;

“Sebagai penghantar saya bukan setakat menghantar barang yang dipesan tetapi membawa senyuman kepada pelanggan. Sebabnya pelanggan akan tersenyum apabila menerima barangan yang dipesan atau hadiah daripada sahabat mereka.”

Mengenai rancangan masa depan, Roy Fadzill dengan penuh semangat berkata;

“Impian saya sebelum umur mencecah 55 tahun saya mahu membuka kilang ‘Rofani Foods’ dengan menghasilkan jenama sendiri seperti brownies, cookies dan kek.

ROY Fadzill juga pakar membuat Chocolate Cookies keluaran Rofani.

“Sementara itu, apabila umur saya 60 tahun, hasrat saya hanya satu iaitu untuk mewakili Malaysia di Sukan Olimpik dalam acara yang sesuai dengan usia warga emas. Saya yakin jika kita berusaha, impian itu akan menjadi kenyataan. Kalah atau menang adalah adat bertanding yang penting semangat juang.”

Bagi anda yang ingin menikmati menggunakan khidmat ‘delivery’ dan menikmati kesedapan produk keluaran Rofani Foods bolehlah layari: [email protected] atau di IG: @rofanifoods atau hubungi nombor: 010-9826960 atau 012-4446960.

SEBAGAI ‘delivery’ Roy Fadzill bukan setakat menghantar pesanan malah membawa senyuman kepada pelanggan.
ROY Fadzill (tengah) ketika masih bertugas sebagai Naib Presiden Pos Malaysia bersama rakan setugas, Azman (bertopi) dan Shamsol.
Kini mereka semua telah meninggalkan Pos Malaysia.

-BebasNews

Leave a Reply