Ahmad Iqbal Zulkefli bakal tampil dengan single Hujan yang berkisar tentang pengalaman dirinya pada 1 November ini.

Oleh Khadijah Ibrahim

KATALAH apa saja, Ahmad Iqbal Zulkefli sudah tak lut dengan komen-komen atau pandangan orang lain. Apa yang penting bagi usahawan berusia 27 tahun itu adalah mahu memenuhi kehendak hatinya, menjadi seorang penyanyi.

Hati Ahmad Iqbal atau mesra dengan panggilan Iqbal seolah-olah sudah kebal dan kuat selepas percintaannya dengan Datuk Seri Vida terkandas di tengah jalan.

Akhirnya impian Iqbal untuk ada lagu sendiri seperti Vida dipenuhi oleh Eric Floor 88 yang merupakan kenalannya sewaktu belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Iqbal menerusi Instagram pada 27 Oktober (Rabu) memberitahu bahawa beliau bakal muncul dengan lagu sulung berjudul Hujan.

Menurut Iqbal, video muzik lagu Hujan akan disiarkan secara rasmi di saluran YouTube Rusa Music pada 1 November (Isnin) 2021.

“Pada 1 November ini, lagu saya yang bertajuk Hujan bakal ditayangkan di YouTube. Hujan mengisahkan tentang kisah benar, perjalanan hidup saya yang dilalui selama ini.

Ahmad Iqbal mohon jangan bandingkan dirinya dengan pengasas kosmetik lain kerana beliau ada pengalaman menyanyi sebelum ini.

“Terima kasih, pengarah video muzik Eric Fuzi sanggup menuruti kemahuan saya dengan penggambaran yang memakan masa 24 jam, bermula 6 pagi sehingga 6 pagi keesokan harinya,” jelasnya di media sosial.

Tambahnya, beliau juga amat menghargai karya komposer Zai Hamzah atau Achoi Floor 88 dan penyanyi Oja yang bertungkus lumus menyiapkan lagu untuknya.

“Saya menghargai karya komposer Zai Hamzah @achoifloor88 & @aku_oja tidak tidur banyak hari demi menyiapkan lagu saya. Tiga hari setelah menerima lagu terus ke sesi rakaman. Lirik sebahagiannya dari saya sendiri digabungkan idea bersama Zai Hamzah dan Oja.

“Saya hargai semua kru, guru vokal yang bekerja keras. Berharap sudi bekerjasama lagi nanti. Apabila saya katakan saya mahu buat, saya akan pastikan ia benar-benar tercapai. Jika ia adalah marketing, saya akan jelaskan bahawa ini adalah marketing,” katanya terus terang.

Pada 14 Oktober lalu, menerusi Instagram, Iqbal menyatakan beliau keliru untuk membuat keputusan memilih komposer untuk lagu dendangannya kerana menerima tawaran daripada ramai komposer hebat.

“Lebih 50 komposer besar menawarkan lagu termasuk beberapa band terkenal dari Indonesia. Kata orang, paling awal pun sebulan untuk siapkan semua. Namun saya perlu kejar masa kerana banyak hal lain perlu disegerakan juga. Paling lewat pun minggu hadapan lagu saya sudah dilancarkan bersama video muzik.

“Tidak mengapa, saya percaya setiap kerja keras tidak akan mensiasiakan hasil. Berharap saya bertemu pencipta lagu yang tepat. Meskipun dijadikan bahan permainan orang ramai, saya janji tidak akan merosakkan industri muzik tanah air. Biarpun berjuta orang tidak percaya pada saya, jika keinginan diri teguh, saya sanggup tempuh,” tulisnya.

Ternyata, Iqbal tidak cakap kosong kerana dalam tempoh beberapa hari lagi, beliau akan muncul dengan lagu Hujan. Beliau juga enggan dibandingkan dengan pengasas produk kecantikan yang lain buat lagu sebab berduit.

Jelas Iqbal, beliau pernah menjadi juara nasyid untuk negeri Kelantan dan naib juara peringkat kebangsaan. Apa pun, kita tunggu dan lihat hasilnya nanti.

-BebasNews

Leave a Reply